Rayu Speaker lulus usul sidang khas bahas genosid di Gaza

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal merayu agar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meluluskan usul agar Dewan Rakyat membahaskan untuk mengekalkan pendirian penyelesaian dua-negara sebagai dasar luar Malaysia dalam satu sidang khas yang lebih komprehensif melibatkan Israel-Palestin.

Menurutnya, ia seperti mana yang telah berlaku di parlimen-parlimen lain di luar negara termasuk parlimen Singapura yang telah bersidang hampir enam jam membincangkan pelbagai tajuk dalam soal krisis Israel-Palestin.

"Semua usaha ini penting kerana ianya boleh dijadikan asas kepada perjuangan Malaysia membantu Palestin.

"Harus diingat masalah dan ancaman rejim zionis Israel belum tamat selagi mana mereka tidak dapat Al-Aqsa. Itulah yang diisyaratkan oleh Hamas pada 7 Oktober yang lalu berkenaan operasi 'al-Tawfan al-Aqsa'," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, Perikatan Nasional (PN) melihat penyelesaian dua-negara sudah mati direjam Israel melalui penghapusan kaum yang sedang berlaku di Gaza

Justeru katanya, tumpuan sepatutnya diberikan saja kepada perjuangan mewujudkan sebuah negara Palestin yang Merdeka sesuai dengan sempadan negara sebelum 1967.

"Sebagai pembangkang kami mahu Dasar Luar Malaysia kekal relevan dan penting kerana banyak pihak dari seluruh dunia mengharapkan Malaysia memainkan peranan yang lebih jujur, berani dan tegas seperti mana negara-negara bukan Islam yang lain seperti Afrika Selatan, Sepanyol dan Brazil.

"Wajarlah perbahasan panjang lebar dibuat di Parlimen melalui sidang khas bukan sekadar khamar khas. Mohon sokongan daripada rakyat jelata," katanya.

Artikel Berkaitan: