Menteri nafi bayaran bengkel guna peruntukan Mitra

Aaron. Foto Bernama
Aaron. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perpaduan Negara menafikan bayaran fi kepada firma perunding PEMANDU Associate (PEMANDU) bagi melaksanakan Bengkel Penetapan Hala Tuju Baharu Mitra pada Mac dan April ini menggunakan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, bayaran fi kepada firma berkenaan adalah melalui peruntukan operasi kementerian mengikut tata cara kewangan sedia ada iaitu Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 3.2.

"Saya ingin menafikan juga dakwaan bahawa PEMANDU akan mengendalikan proses penelitian permohonan, bantuan kewangan dan agihan peruntukan Mitra," katanya dalam kenyataan.

Ujar beliau, penglibatan firma itu adalah hanya untuk melaksanakan bengkel dan lab yang akan memudah cara urusan kementerian berhubung perancangan strategik dan hala tuju Mitra bagi menghasilkan Blueprint Mitra.

"Selain itu, saya turut ingin menafikan bahawa penglibatan firma PEMANDU ini menenggelamkan peranan P Prabakaran selaku Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Mitra," ujarnya sambil menambah Prabakaran telah turut libat sama dalam dua perbincangan bersama PEMANDU.

Sementara itu, Aaron berkata, kementerian ketika ini sedang menjalankan Kaji Selidik Hala Tuju Masyarakat India.

"Sehingga 13 Mac, hanya empat ahli Parlimen dan ADUN telah mengisi borang kaji selidik ini.

"Saya mohon agar semua Yang Berhormat mengambil bahagian dalam kaji selidik ini dengan memberikan pandangan, cadangan dan idea berhubung hala tuju Mitra," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28