Indonesia tak larang penggunaan pembesar suara di masjid, surau sepanjang Ramadan

Umat Islam di Indonesia menunaikan solat tarawih di Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia. Foto AFP
Umat Islam di Indonesia menunaikan solat tarawih di Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Kementerian Ehwal Agama Indonesia tidak pernah mengenakan sebarang larangan terhadap penggunaan pembesar suara di masjid dan surau sepanjang Ramadan.

Menurut laporan Tempo.Co, jurucakap Kementerian Ehwal Agama Indonesia, Anna Hasbie berkata, pihaknya hanya mengeluarkan garis panduan penggunaan alat pembesar suara tersebut.

“Kami tidak pernah mengeluarkan larangan seperti itu. Panduan itu bukan melarang penggunaan pembesar suara dan tidak membataskan kegiatan sepanjang Ramadan.

“Garis panduan itu sekadar cadangan untuk menggalak toleransi dan menghormati kepelbagaian masyarakat di negara itu.

“Sila teruskan membaca Al-Quran dengan pembesar suara. Namun, untuk kepentingan bersama, sila gunakan pembesar suara dalaman sahaja,” kata Anna dalam satu kenyataan.

Kementerian Ehwal Agama Indonesia pada 18 Februari 2022 telah mengeluarkan surat pekeliling mengenai Garis Panduan Penggunaan Pembesar Suara di Masjid dan Ruang Solat.

Ia bertujuan mewujudkan keamanan, ketenteraman dan keselesaan bersama dalam penyiaran agama dalam kalangan masyarakat majmuk daripada pelbagai kepercayaan agama dan latar belakang.

Mengulas lanjut, Anna memberitahu, garis panduan itu bukan sesuatu yang baharu, malah ia sudah wujud sejak tahun 1978.

Artikel Berkaitan:

“Pekeliling ini bukan norma undang-undang. Ia tidak wajib, tetapi ia mengikat pihak yang disebut dalam surat itu,” jelasnya.

Terdahulu, pendakwah selebriti berpengaruh dari Yogyakarta, Gus Miftah membangkitkan soal larangan menggunakan pembesar suara untuk membaca Al-Quran sepanjang Ramadan.

Beliau membandingkannya dengan penggunaan pembesar suara untuk rancangan dangdut atau muzik yang tidak disekat walaupun berlarutan sehingga awal pagi. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!