Pemaju perumahan disaran bina sekolah, atasi kesesakan murid - Pakar

Banyak rungutan dalam kalangan ibu bapa mendakwa murid terlalu ramai dalam sebuah kelas. - Foto hiasan.
Banyak rungutan dalam kalangan ibu bapa mendakwa murid terlalu ramai dalam sebuah kelas. - Foto hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran untuk mewajibkan pemaju membina sekolah di kawasan perumahan baharu yang mempunyai lebih 500 unit kediaman, bagi mengatasi isu kesesakan murid.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius dalam perancangan bandar serta polisi pendidikan, memandangkan pembangunan bandar sedia ada tidak seimbang dengan pembangunan infrastruktur sekolah.

"Pihak pemaju perlu membangunkan sekolah rendah, pada waktu sama mereka bangunkan kawasan bandar atau perumahan baharu, jika pembangunan perumahan dalam 500 unit, perlu bina sekolah rendah tetapi jika perumahan melebihi 500 unit maka pemaju perlu bina sekolah rendah dan menengah.

"Kita tidak boleh lagi harapkan pemaju sediakan tanah kosong untuk pembinaan sekolah yang akhirnya selepas beberapa tahun kemudian, sekolah tidak juga dibina kerana masalah birokrasi dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru Anuar berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan langkah untuk memberikan pengecualian cukai kepada pemaju yang telah membina sekolah di kawasan pembangunan mereka, sebagai timbal balas kepada pemaju.

Beliau yang juga Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara berkata, sebagai penyelesaian jangka pendek, kementerian boleh mewujudkan jawatan pembantu guru khususnya bagi kelas yang mempunyai bilangan murid melebihi 40 orang, selain menambah bilangan guru di sekolah yang padat.

"Di peringkat global, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Tabung Kanak-Kanak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mencadangkan, kadar bilangan murid untuk satu-satu kelas seramai 20 hingga 25 murid sahaja bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) berkesan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangannya sekiranya masalah itu tidak diatasi dengan segera akan menyebabkan kualiti, motivasi serta tumpuan murid belajar terus merosot dan guru pula hilang tumpuan serta burn out.

Artikel Berkaitan:

Pada sesi pembukaan sekolah yang bermula Ahad lalu, banyak rungutan dalam kalangan ibu bapa mendakwa murid terlalu ramai dalam sebuah kelas, bahkan terdapat kelas yang mempunyai lebih 50 murid dengan berbelas kelas diwujudkan bagi setiap darjah dan tingkatan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28