Isu kurma Israel, subsidi telur antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Kemasukan kurma dari Israel dipantau Isu berkaitan kurma dari Israel yang dibawa masuk ke Malaysia, program Semarak Kampus Madani dan subsidi telur antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini. - Foto hiasan
Kemasukan kurma dari Israel dipantau Isu berkaitan kurma dari Israel yang dibawa masuk ke Malaysia, program Semarak Kampus Madani dan subsidi telur antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini. - Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu berkaitan kurma dari Israel yang dibawa masuk ke Malaysia, program Semarak Kampus Madani dan subsidi telur antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada waktu pertanyaan-pertanyaan Menteri meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah tindakan yang telah diambil susulan pembongkaran terdapatnya kurma dari Israel dibawa masuk ke Malaysia yang jelas bertentangan dengan pendirian negara memboikot produk serta sekatan perdagangan dan ekonomi dengan Israel.

Pada sesi sama, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pula meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan tujuan penganjuran serta status pelaksanaan program Semarak Kampus Madani setakat hari ini dan sejauh manakah kepentingan program tersebut mampu memberi manfaat kepada semua pemegang taruh terlibat, terutama mahasiswa.

Sementara itu pada sesi soal jawab, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) meminta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan adakah harga daging ayam naik mendadak atau menghadapi kekurangan bekalan di pasaran selepas pemansuhan subsidi dan kawalan harga serta adakah subsidi telur gred A, B dan C akan diteruskan.

Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) pula dalam soalannya meminta Menteri Kerja Raya menyatakan tindakan yang telah atau akan diambil oleh kementerian untuk mengatasi masalah pembaikan jalan raya iaitu turapan bukan tampalan yang berlaku di seluruh Malaysia.

Usai sesi itu, persidangan akan diteruskan dengan menyambung semula penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja daripada kementerian antaranya Kementerian Kesihatan, Kementerian Digital, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 ini berlangsung selama 19 hari hingga 27 Mac ini dengan 160 Ahli Parlimen selesai membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat bermula 27 Februari hingga 7 Mac lepas. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: