Diberkas tidak sampai dua jam mencuri

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Polis memberkas sepasang kekasih dan rakan mereka tidak sampai dua jam selepas mencuri wang RM5,000 dan dokumen penting dari sebuah rumah di Kampung Tanjung Labian, Tungku dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam kejadian 1.45 tengah hari semalam, mangsa dipercayai tiada di rumah.

"Sebaik pulang, anak mangsa berumur 10 tahun memaklumkan seorang wanita mencari mangsa dan telah menyuruh anak mangsa membeli kad tambah nilai prabayar di sebuah kedai runcit berhampiran.

"Mangsa kemudian mendapati wang tunai berjumlah RM5,000 serta dokumen penting miliknya serta anak-anak yang diletakkan di dalam sebuah laci di dalam bilik telah hilang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata, dua suspek lelaki ditahan di dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah rumah di Sahabat 3 Desa Kencana, Tungku kira-kira jam 3.22 petang semalam manakala suspek wanita ditahan di dalam rumah tersebut (di Sahabat 3 Desa Kencana).

"Dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek berumur lingkungan 22 hingga 49 tahun, pihak polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM4,043 dan dua telefon bimbit, lima keping kad pengenalan, sekeping Mykid, seutas jam tangan serta sebuah kenderaan," katanya.

Nasri berkata, seorang daripada suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan semua suspek didapati positif dadah jenis syabu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: