Pilpres Indonesia: Anies cadang fail aduan di Mahkamah Perlembagaan

Anies Baswedan
Anies Baswedan
A
A
A

JAKARTA - Calon presiden (capres) Indonesia, Anies Baswedan merancang untuk memfailkan aduan di Mahkamah Perlembagaan berhubung keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) bulan lepas.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto memenangi undian pada 14 Februari lalu dengan memperoleh hampir 60 peratus undian.

Suruhanjaya pilihan raya negara itu dijangka mengumumkan pemenang rasmi pada 20 Mac ini.

Anies yang juga bekas Gabenor Jakarta berkata, beliau merancang memfailkan aduan selepas keputusan rasmi diumumkan, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.

"Kami bercadang untuk memfailkan kepada Mahkamah Perlembagaan dan buat masa ini tidak dapat mendedahkan isi kandungannya," katanya kepada wartawan.

Tindakan itu dibuat ketika parti yang menyokong Anies dan seorang lagi Capres, Ganjar Pranowo sedang bersiap sedia melancarkan siasatan Parlimen terhadap tindakan kerajaan menjelang hari pengundian dan dakwaan pelanggaran etika pilihan raya.

Walaupun Mahkamah Perlembagaan lazimnya mengendalikan pertikaian pilihan raya, Parlimen Indonesia mempunyai kuasa untuk menyiasat dasar kerajaan atau pelaksanaan peraturan tertentu dan meneliti tingkah laku pegawai awam, termasuk presiden.

Dalam keputusan pilihan raya baru-baru ini, Prabowo menang besar selepas percubaan kali ketiganya bertanding selain mendapat sokongan tidak rasmi Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang berdepan dakwaan pelanggaran kod etika dan campur tangan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!