Remaja perempuan 16 tahun ditahan seludup minyak petrol

Hasil maklumat risikan suspek telah menggunakan kereta yang telah diubah suai tangkinya.
Hasil maklumat risikan suspek telah menggunakan kereta yang telah diubah suai tangkinya.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditahan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN) selepas dipercayai menyeludup minyak petrol ke negara jiran di Kampung Telaga Bata, Tumpat pada Selasa.

Remaja berkenaan ditahan pada jam 12.40 tengah hari semasa sedang leka membuat pengisian secara berulang kali di sebuah stesen minyak.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil maklumat risikan suspek telah menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang telah diubah suai tangkinya.

Azman
Azman

"Pada hari yang sama di Tumpat sekitar jam 9 pagi kami telah menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara disyaki membawa muatan anggaran 150 liter minyak petrol di dalam tangki yang diubah suai.

"Bagaimanapun suspek telah melarikan diri semasa serbuan dijalankan," katanya semasa sidang akhbar di sini, pada Rabu.

Menurut beliau, pada jam 10 pagi pula, pihaknya telah menahan sebuah lagi kereta jenis Perodua Kenari dipercayai membawa muatan anggaran 100 liter minyak petrol di dalam tangki yang telah diubah suai.

Ujarnya, suspek yang berusia 33 tahun berjaya ditahan.

Artikel Berkaitan:

Azman memberitahu, pihaknya telah menyita 325 liter minyak petrol serta mengambil tindakan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap stesen minyak terlibat.

"Kami juga mengesan pergerakan beberapa kenderaan membuat pengisian secara berulang kali di beberapa stesen minyak di Tumpat dengan bayaran sekitar RM30 hingga RM50 sekali transaksi.

"Kemudian ia akan dibawa ke pangkalan haram untuk diselewengkan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28