'Malam ajaib buat Arsenal' - Arteta

Pemain Arsenal meraikan kejayaan menewaskan Porto melalui penentuan sepakan penalti. Foto EPA
Pemain Arsenal meraikan kejayaan menewaskan Porto melalui penentuan sepakan penalti. Foto EPA
A
A
A

PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kejayaan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan penentuan penalti ke atas Porto pada awal pagi Rabu sebagai malam ajaib buat pasukannya.

Gol separuh masa pertama Leandro Trossard menjadikan kedudukan agregat 1-1 selepas Porto mendahului pada perlawanan pertama, sebelum Arsenal mengesahkan kemaraan menerusi kemenangan 4-2 penentuan sepakan penalti.

Ia adalah kali pertama pasukan utara London itu berada di suku akhir sejak 2010, apabila mereka tersingkir tujuh kali berturut-turut dalam pusingan 16 terakhir dan selepas itu enam musim tidak menyertai pertandingan kelab elit Eropah tersebut.

“Malam ajaib. Kami menjangkakan lawan yang sangat sukar. Sangat sukar untuk menjana momentum dan ia adalah kredit kepada (Porto).

“Ia satu pengalaman yang besar untuk kami. Kami terpaksa melakukannya melalui penalti. Penghargaan kepada (penjaga gol) David (Raya) yang mengalami beberapa detik sukar untuk bermula tetapi menunjukkan keazaman yang luar biasa dan bangkit,” katanya.

Penjaga gol Sepanyol itu membuktikan dia layak diangkat sebagai wira apabila dia menghalang penalti Galeno untuk mencetuskan perayaan meriah di Emirates.

“Jelas sekali ia satu perasaan yang hebat untuk saya secara peribadi, kali pertama dalam Liga Juara-Juara dan untuk kelab itu mara ke suku akhir buat kali pertama dalam beberapa tahun.

“Kami telah banyak berlatih dalam penentuan penalti tahun ini dan semua kerja keras dengan jurulatih penjaga gol dan pasukan telah membuahkan hasil. Momen yang hebat secara peribadi dan kolektif.

Artikel Berkaitan:

“Ini bermakna segala-galanya. Anda bermain bola sepak untuk perkara seperti ini dan saya bertuah kerana bermain untuk Arsenal,” kata Raya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28