[VIDEO] 41 tahun guna air bukit

A
A
A

HULU TERENGGANU - Sudah menjadi tradisi bagi penduduk Kampung Payang Kayu, Kuala Berang dekat sini menggunakan air bukit dari Bukit Tinggi di kampung tersebut dalam kehidupan seharian mereka sejak 41 tahun lepas.

Lebih menarik, saluran paip yang dipasang dari atas bukit mampu membekalkan air bersih kepada 98 rumah melibatkan hampir 500 penduduk di kampung berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Air Bukit Kampung Payang Kayu, Mustaffa Taib menyatakan penduduk masih menggunakan air bukit yang segar itu bagi menampung keperluan harian meskipun sudah mendapat bekalan air bersih daripada Syarikat Air Terengganu Sdj Bhd (SATU).

Pemasangan paip sepanjang 2.5 kilometer dari atas bukit sehingga kampung membabitkan kos antara RM7,000 hingga RM10,000.
Pemasangan paip sepanjang 2.5 kilometer dari atas bukit sehingga kampung membabitkan kos antara RM7,000 hingga RM10,000.

Menurutnya, air bukit itu bukan sahaja selamat untuk digunakan bagi tujuan minum dan memasak makanan malah kegunaan keperluan harian termasuk mandi dan membasuh pakaian.

"Kita ada buat penyambungan sebanyak 10 hingga 12 paip untuk disalurkan air ke seluruh komuniti masyarakat desa melibatkan 98 rumah dengan jumlah penduduk lebih kurang 500 orang.

"Pemasangan paip itu melibatkan jarak 2.5 kilometer dari atas bukit sehingga kampung dengan anggaran kos berjumlah RM7,000 hingga RM10,000.

Artikel Berkaitan:

Penduduk bergotong-royong membersihkan kawasan dan memasang saluran paip.
Penduduk bergotong-royong membersihkan kawasan dan memasang saluran paip.

"Kita mahu kekalkan tradisi yang telah dimulakan sejak 41 tahun dahulu. Penggunaan air bukit merupakan salah satu daripada aturan orang-orang dahulu dan sebahagian cara kehidupan mereka di kampung ini," katanya ketika ditemui di Kampung Payang Kayu, Kuala Berang dekat sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mustaffa menyatakan penggunaan air bukit yang sejuk itu juga memberi kesegaran kepada penduduk terutama ketika cuaca panas pada bulan Ramadan.

Air terjun di Bukit Tinggi di Kampung Payang Kayu.
Air terjun di Bukit Tinggi di Kampung Payang Kayu.

"Dengan keadaan cuaca panas terutama pada bulan Ramadan ini juga sudah tentu memberi keselesaan serta menyegarkan badan bagi orang ramai yang mandi menggunakan air tersebut.

"Penduduk juga tidak perlu bersusah payah untuk naik ke atas bukit semata-mata untuk mandi kerana air yang sudah disalurkan terus ke kampung sudah tentu memudahkan mereka terutama pada golongan berusia," ujarnya.

Dalam pada itu, Mustaffa berkata, saluran paip air yang dibuat dari atas bukit sehingga ke kampung itu merupakan alternatif bagi penduduk setempat dalam mendapatkan bekalan bersih sekiranya mengalami masalah gangguan air.

Saluran paip yang dipasang dari atas bukit mampu membekalkan air bersih kepada 98 rumah.
Saluran paip yang dipasang dari atas bukit mampu membekalkan air bersih kepada 98 rumah.

"Jika berlaku masalah gangguan air, penduduk juga boleh gunakan air bukit yang sudah disalurkan itu. Memang kos pemasangan paip ini agak mahal.

"Namun hasil daripada sumbangan dari masyarakat desa dan sebahagian besar atas inisiatif saya sebagai wakil pertubuhan untuk cari dana daripada sumber syarikat korporat, swasta dan sebagainya maka kita dapat menjayakan usaha ini.

Batang paip dibawa menaiki motosikal ke kawasan bukit.
Batang paip dibawa menaiki motosikal ke kawasan bukit.

"Kami merancang selepas Ramadan ini untuk adakan gotong-royong secara besar-besaran selain nak buka lagi kolam takungan air serta meningkatkan pemasangan paip.

"Kita mahu perbanyakkan saluran air dari bukit itu kepada masyarakat. Insya-ALLAH sudah tentu ia akan beri lebih keselesaan terhadap mereka pada masa akan datang," jelasnya.

Penduduk Kampung Payang Kayu, Kuala Berang menggunakan air bukit dari Bukit Tinggi di kampung tersebut dalam kehidupan seharian mereka.
Penduduk Kampung Payang Kayu, Kuala Berang menggunakan air bukit dari Bukit Tinggi di kampung tersebut dalam kehidupan seharian mereka.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28