Saman cuai: Permohonan kebenaran merayu polis, kerajaan ditolak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan polis dan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati mereka cuai berhubung kematian ahli perniagaan dalam lokap polis pada 2018.

Keputusan itu dibuat oleh tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar.

Dalam keputusan mahkamah itu Hakim Thiam Suan berkata, polis dan kerajaan tidak boleh diberi kebenaran untuk meneruskan rayuan kerana gagal memenuhi keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dalam kes sivil, pihak litigasi dikehendaki mendapatkan kebenaran sebelum mereka boleh meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 30 Oktober tahun lepas, keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada balu S Thanabalan dan bapa mentuanya, yang memutuskan bahawa Ketua Polis Negara dan kerajaan cuai kerana gagal menghantar Thanabalan ke hospital secepat mungkin.

Panel hakim tiga orang Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Lee Swee Seng telah mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi yang perlu dibayar kepada keluarga Thanabalan.

Thanabalan ditahan pada 29 Mac 2018 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana didakwa terlibat dengan kumpulan jenayah terancang.

Pada 17 April 2018 pukul 8.30 malam, Thanabalan pengsan di lokap Ibu Pejabat Polis Shah Alam dan dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Balu Thanabalan, V Santhi, 44, dan P Vathian, 74, memfailkan saman itu pada 2021 terhadap 11 pegawai polis, Ketua Polis Negara dan kerajaan kerana cuai dan salah laku dalam jawatan awam.

Santhi juga memfailkan saman itu bagi pihak dua anaknya dan harta pusaka suaminya. Bapanya, Vathian ialah pentadbir bersama harta pusaka itu. Mereka menuntut ganti rugi termasuk kehilangan nyawa, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi am serta perbelanjaan pengebumian.

Pada 4 April 2022, Mahkamah Tinggi di Shah Alam menolak saman itu tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mendapati polis dan kerajaan cuai atas kematian Thanabalan, menyebabkan polis dan kerajaan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa keluarga Thanabalan gagal membuktikan penyelewengan dalam tuntutan pejabat awam terhadap polis dan kerajaan.

Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamarudin dan Siti Syakimah Ibrahim mewakili polis dan kerajaan manakala peguam M Visvanathan, V Sanjay Nathan dan Pushan Qin Nathan mewakili keluarga Thanabalan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28