Dadah: Pelajar Tingkatan Empat antara 978 ditahan

Muhamad Zaki (kanan) semasa sidang akhbar di IPK Kelantan pada Selasa.
Muhamad Zaki (kanan) semasa sidang akhbar di IPK Kelantan pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Pelajar Tingkatan Empat antara 978 suspek yang ditahan bersabit dengan penyalahgunaan dadah dan ketum sepanjang Operasi Tapisan Bersepadu dan Tapis Khas yang diadakan bermula 1 Mac lalu hingga Isnin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, remaja lelaki berusia 16 tahun itu ditahan pada 4 Mac lalu sekitar jam 11.50 pagi di Jalan Geale, Kuala Krai.

"Hasil pemeriksaan terhadap tubuh remaja itu membawa kepada penemuan 20 biji pil disyaki yaba.

"Suspek juga didapati positif dadah jenis amphetamine dan kes disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu seramai 884 warga tempatan dan 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan sepanjang operasi tersebut.

Ujarnya, ia melibatkan nilai rampasan berjumlah RM450,819.60 iaitu dadah (RM378,215.82), kenderaan (RM2,000) dan sitaan harta RM70,603.78.

Antara yang dirampas ialah pil yaba, heroin, ganja, syabu, pil psikotropik, ubat batuk, air ketum dan daun ketum
Antara yang dirampas ialah pil yaba, heroin, ganja, syabu, pil psikotropik, ubat batuk, air ketum dan daun ketum

Artikel Berkaitan:

Muhamad Zaki berkata, bagi rampasan dadah pula ia melibatkan pil yaba, 3,328.76 gram, heroin (13.59 gram) ganja (36.53 gram), syabu (12.42 gram), pil psikotropik (32.41 gram), ubat batuk (16.67 liter), air ketum (171.14 liter) dan daun ketum (25.4 kilogram).

"Kesemua ini jika berjaya diedarkan boleh digunakan oleh seramai 34,290 penagih," katanya.


Polis rampas 20,000 biji pil yaba

KOTA BHARU - Penahanan seorang lelaki oleh polis membawa kepada rampasan 20,000 biji pil yaba yang dijumpai di dua lokasi berasingan pada Sabtu.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan di hadapan Kompleks Kota Darul Naim di sini pada jam 5 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa ditahan suspek cuba melarikan diri namun gagal.

"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas beg berwarna kuning telah menjumpai 18,000 biji pil yaba," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, hasil soal siasat, polis telah melakukan pemeriksaan di sebuah rumah yang tidak bernombor di Kampung Bunohan, Tumpat.

Ujarnya, pemeriksaan itu membawa kepada penemuan bungkusan mengandungi 2,000 biji pil yaba.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM137,500.

"Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28