X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga beranak maut nahas

Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat tiga beranak yang tersepit dalam kemalangan di KM145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan hari ini. - Foto JBPM
A
A

TEMERLOH - Tiga beranak termasuk seorang bayi berusia 4 bulan maut selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini petang tadi.

Kemalangan kira-kira jam 5 petang itu membabitkan sebuah kereta Proton Persona, lori dan treler.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, mangsa yang maut adalah Mohammad Adnan Anuar, 23, dari Kampung Bolok Hulu, Lanchang bersama isterinya, Siti Tul Assiqin Abdul Wahab, 23, dan anak mereka, Nur Alissa Insyirah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa, Mohammad Adnan yang memandu Proton Persona bersama isteri dan anaknya dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.

Keadaan Proton Persona yang dinaiki tiga beranak remuk.
Keadaan Proton Persona yang dinaiki tiga beranak remuk.

"Apabila sampai di tempat kejadian di kawasan selekoh dipercayai kereta Proton Persona yang dipandu mangsa telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah treler.

"Kejadian menyebabkan treler berkenaan mengelak ke kiri dan bergesel dengan sebuah lori yang berada di lorong sebelah kiri. Akibat kemalangan itu, pemandu kereta, isteri dan bayi mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, pemandu treler berusia 55 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan manakala pemandu lori berusia 27 tahun mengalami kecederaan pada tangan kanan dan kaki kiri.

Katanya, ketiga-tiga mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!