Sensitiviti agama, kaum jadi modal politik hancurkan negara

Adly
Adly
A
A
A

MELAKA TENGAH - Isu- isu sensitiviti kaum dan agama dilihat sengaja ditimbulkan oleh pihak- pihak tertentu sebagai modal untuk mewujudkan kebencian dan mahu mendapat kepentingan politik.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, bagaimanapun politik perkauman dan agama seperti itu tidak akan memberi impak yang baik dan berupaya menghancurkan negara.

"Sewajarnya orang politik menggunakan medan politik bagi mengutamakan kepentingan rakyat dengan cara berlumba siapa yang terbaik untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Adly berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang menggesa kerajaan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia pelbagai kaum agar tidak memainkan isu perkauman.

Beliau berkata, sekiranya ada sesuatu isu berbangkit di peringkat kerajaan perlu diselesaikan melalui perbincangan atau perundingan demi mengharmonikan bukannya mengeruhkan lagi keadaan.

"Masa ini adalah yang penting untuk masyarakat membina kesepakatan.

"Kita lihat dalam konteks di Melaka dan Malaysia amnya sebagai warganegara kita sudah faham tentang budaya, tentang cara dan agama masing-masing. Cuma sebahagian perkara itu sengaja dijadikan modal untuk menimbulkan kebencian itu sahaja, " katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Hubungan kaum, agama semakin parah di Malaysia

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu berkata, beliau yakin di peringkat kerajaan Pakatan Harapan sama ada kementerian dan kerajaan negeri memiliki tanggungjawab bersama untuk menyelesaikan sesuatu isu yang timbul.

"Sebenarnya banyak program-program kemasyarakatan yang membabitkan kepelbagaian kepimpinan diadakan tanpa mengira bangsa, agama dan kaum," katanya.

Terdahulu, Adly menyantuni lima keluarga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada program Ziarah Kasih yang diadakan setiap Jumaat.