Nelayan hilang: Bot hanyut, terdampar di tepi pantai

Zakaria (kiri) dan Zahari selamat ditemukan selepas bot dinaiki mereka terdampar di Pantai Tanjung Selangor di Pekan pagi Isnin. Foto Polis Kuantan
Zakaria (kiri) dan Zahari selamat ditemukan selepas bot dinaiki mereka terdampar di Pantai Tanjung Selangor di Pekan pagi Isnin. Foto Polis Kuantan
A
A
A

KUANTAN - Dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing dari jeti di Kampung Baru Beserah pada Sabtu, selamat ditemukan di pantai Tanjung Selangor, Pekan.

Mangsa Zakaria Ramli, 59, dan rakannya Zahari Sidek, 59, dijumpai semula oleh orang awam di pantai terbabit kira-kira jam 8 pagi, Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua mangsa telah dibawa ke jeti nelayan Tanjung Selangor dan berada dalam keadaan sihat.

Menurutnya, hasil temubual dengan kedua-dia mangsa mendapati enjin gagal berfungsi menyebabkan mereka tidak dapat pulang ke jeti seperti dijadualkan.

"Mangsa menjelaskan kejadian berpunca apabila minyak dalam enjin kehabisan. Mereka kemudian memasukkan minyak simpanan (yang dibawa), namun enjin gagal berfungsi dan tak dapat dihidupkan.

"Difahamkan kedua-dua mangsa tidak melabuhkan sauh bot di laut kerana takut dilanggar kapal besar yang lalu di kawasan terbabit. Namun, mereka membiarkan sahaja bot tersebut hanyut hinggalah bot terdampar di tepi pantai Tanjung Selangor, Pekan pada jam lebih kurang 6 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa keluar meminta bantuan orang awam selepas bot mereka terdampar di pantai terbabit.

"Jarak mangsa ditemui lebih kurang 27 kilometer dari Unjan (lokasi terakhir dilihat) ke Tanjung Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohd Zahari turut memberitahu pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Marin Wilayah tiga Kuantan telah dimaklumkan berkaitan penemuan mangsa terlibat.

Pada Ahad, Sinar Harian melapor kehilangan dua nelayan terbabit gagal dikesan selepas kedua-dua mereka sepatutnya pulang sekitar jam 6 petang, Sabtu.

Polis Kuantan menerima maklumat itu selepas sepupu salah seorang mangsa membuat laporan pada jam 11.52 pagi Ahad.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28