Tragedi menjelang Ramadan: Kanak-kanak OKU ditemukan lemas

Mangsa, Muhammad Izhar Azhar, 11, ditemui lemas oleh bapanya yang berusia 49 tahun ketika melakukan pencarian di sungai berkenaan. Foto Awani
Mangsa, Muhammad Izhar Azhar, 11, ditemui lemas oleh bapanya yang berusia 49 tahun ketika melakukan pencarian di sungai berkenaan. Foto Awani
A
A
A

SIK - Seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan lemas di Sungai Kampung Tala, Mukim Jeneri, di sini, pada Ahad.

Mangsa, Muhammad Izhar Azhar, 11, ditemui lemas oleh bapanya yang berusia 49 tahun ketika melakukan pencarian di sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas bapa mangsa mendapati anaknya tiada di rumah mereka di Kampung Tala, Jeneri pada jam 5 petang.

Beliau berkata, mangsa dipercayai OKU yang mengalami masalah pembelajaran.

"Bapa mangsa cuba mencari anaknya di sekitar kawasan berhampiran rumah mereka tetapi gagal menemuinya.

"Seterusnya dengan bantuan penduduk kampung, bapa mangsa melakukan pencarian di kawasan Sungai Kampung Tala sebelum menemui pakaian mangsa di tepi sungai berkenaan pada jam 6.30 petang.

"Tidak lama kemudian mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dipercayai lemas," katanya ketika dihubungi Awani pada Ahad.

Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Abdull Razak berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa dan kanak-kanak lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sik tidak lama kemudian.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat. - Awani

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28