Dua anggota polis disyaki berkhalwat ditukar serta-merta

No Image Caption
A
A
A

GEORGE TOWN - Dua anggota polis masing-masing berpangkat Koperal dan Sarjan Mejar yang dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Tanjung Tokong, semalam telah ditukarkan serta-merta.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tindakan terhadap pasangan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya itu diambil selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

"Selain arahan pertukaran, tindakan tatatertib juga diambil terhadap dua anggota terbabit oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang wanita yang masih berstatus isteri orang bersama seorang lelaki yang juga rakan sekerjanya ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas disyaki berkhalwat di dalam bilik sebuah hotel.

Serbuan dilakukan pada jam 1.30 pagi selepas pihak JHEAIPP menerima aduan daripada suami wanita terbabit.

Penolong Pengarah Kanan, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Alamin Majok berkata, hasil serbuan membawa kepada tangkapan seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berumur 37 tahun.

Kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 kerana berkhalwat. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!