Sanusi tak jaga rahsia mesyuarat - Saifuddin

Saifuddin (dua dari kanan) hadir pada Program Ihya Ramadan PDRM Kedah bersama masyarakat di IPD Kulim pada Ahad.
Saifuddin (dua dari kanan) hadir pada Program Ihya Ramadan PDRM Kedah bersama masyarakat di IPD Kulim pada Ahad.
A
A
A

KULIM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa tidak menjaga rahsia mesyuarat apabila maklumat diperolehi dalam mesyuarat dihadirinya dijadikan sebagai modal berceramah di pentas politik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin tersebut menjadi punca mengapa mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah tidak diadakan lebih setahun.

Menurut pengerusi bersama jawatankuasa itu, tiada sebarang gangguan terhadap tugas dan peranannya bagi memantau pelaksanaan projek-projek Persekutuan di Kedah walaupun mesyuarat lama tidak diadakan.

“Dia tak perlu mengadu kenapa mesyuarat pembangunan negeri tak dibuat. Menteri Besar ini banyak hadir mesyuarat-mesyuarat Persekutuan, mesyuarat kewangan dan mesyuarat keselamatan.

“Tapi saya dapati apabila dia balik daripada mesyuarat itu, dia gunakan maklumat dalam mesyuarat untuk ceramah kepada Pas cawangan, sedangkan maklumat yang disampaikan tidak memberi gambaran sebenar.

“Mesyuarat-mesyuarat rasmi kerajaan ada yang bertaraf rahsia besar, bertaraf sulit dan kalau dia hadir mesyuarat Persekutuan, kemudian balik hanya untuk memperlekeh apa yang berlaku dalam mesyuarat maka dia seorang yang tak jaga decorum,” katanya pada Ahad.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media Program Ihya Ramadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah bersama masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini.

Jelas beliau, projek-projek Persekutuan di negeri terbahagi kepada dua iaitu projek bukan fizikal yang boleh dilaksanakan seperti biasa dan projek fizikal yang kebiasaannya melibatkan kerja-kerja sambungan daripada kelulusan terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Saifuddin, beliau hadir program di bawah Pejabat Kemajuan Negeri pada Rabu dan perkara sama turut dilakukan pada tiga hari lalu.

“Jadual saya penuh untuk bulan-bulan ke depan kerana kita melihat projek-projek sambungan yang tak boleh berlaku kelewatan seperti projek loji rawatan air.

“Kecuali projek baharu yang perlukan urusan tanah, tapi kalau projek Persekutuan tak akan dia tak boleh bagi kerjasama dan kalau dia boleh berubah (jaga etika), saya tak ada masalah untuk menyegerakan mesyuarat-mesyuarat yang memerlukan kehadirannya,” ujar beliau.

Pada Khamis, media melaporkan Muhammad Sanusi melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Saifuddin yang didakwa gagal mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah.

Beliau mendakwa Saifuddin tidak memanggil mesyuarat lebih setahun bagi membincangkan projek infrastruktur kerajaan Persekutuan di Kedah dengan kerajaan negeri sejak majlis tersebut ditubuhkan.

Menurutnya, perkara itu tidak seharusnya berlarutan kerana ia berkait dengan peruntukan di bawah Persekutuan dan sebahagiannya terletak bawah kuasa negeri seperti tanah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28