Pertemuan dengan Speaker perkara biasa di Dewan Rakyat - Fahmi

Fahmi Fadzil. Foto Bernama
Fahmi Fadzil. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan hanya ingin memberi maklum balas dan berkongsi idea dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung perkara yang berlaku di dalam dewan.

Beliau berkata, pertemuan Ketua Majlis Mesyuarat Parlimen, Ketua Pembangkang atau ahli Parlimen dengan Speaker bagi mendapatkan nasihat, pandangan atau bertukar-tukar fikiran dari masa ke masa adalah perkara biasa di Dewan Rakyat.

"Tidak lebih daripada itu, kita tidak boleh arahkan Speaker buat apa-apa. Contohnya semasa Ahli Parlimen Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan) mohon maaf, itu selepas ada pertemuan dengan Speaker.

"Kalau tak silap saya, Ketua Pembangkang yang bertemu dengan Speaker. Jadi bertemu dengan Speaker itu adalah sesuatu yang biasa di Dewan Rakyat," katanya kepada pemberita pada program pemeriksaan kesihatan mata di Lembah Pantai hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beliau pada Jumaat bahawa Jemaah Menteri akan berhubung dengan Pejabat Speaker Dewan Rakyat bagi membincangkan kenyataan ahli Parlimen yang didakwa tidak benar ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja sejak dua minggu lepas.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pada Sabtu menegur kenyataan Fahmi yang menurut beliau memberi gambaran seolah-olah kerajaan mencampuri hal ehwal Parlimen.

Pada 5 Mac lepas, Wan Saiful memohon maaf atas tindakan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi ruang kepada wakil rakyat Perikatan Nasional berkenaan memberi penjelasan mengenai kenyataan yang dibuat oleh beliau ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 28 Februari lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28