Universiti awam diminta kenal pasti penginapan pelajar usang

Zambry ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog sempena program Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) hari ini. - Foto: Bernama
Zambry ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog sempena program Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

NILAI - Kementerian Pendidikan Tinggi meminta supaya pihak pengurusan universiti awam mengenal pasti kemudahan kampus yang tidak diselenggara lebih 20 tahun atau usang terutamanya membabitkan penginapan pelajar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihak pengurusan perlu memberi keutamaan kepada kemudahan penginapan pelajar bagi memastikan mereka mendapatkan tempat tinggal yang selesa ketika berada di kampus.

"Saya telah mengarahkan pihak universiti untuk memastikan penyelenggaraan kampus diberikan keutamaan. Ada tempat penginapan ini yang tidak dibaik pulih lebih 20 tahun dan keadaan asrama yang usang... menjadi tanggungjawab kita mendapatkan maklumat ini.

"Saya berada di Sarawak beberapa hari lepas dan melawat kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya lihat keadaan di situ... saya tekankan keutamaan perlu diberikan terutamanya tempat penginapan pelajar," katanya kepada pemberita di sini hari.

Sebelum itu, beliau menghadiri sesi dialog Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) bersama 95 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek di sini hari ini.

Sementara itu, Zambry berkata, program pemukiman berkenaan merupakan platform terbaik untuk perwakilan pelajar berkongsi pendapat bagi melahirkan pemimpin yang berwawasan tinggi serta berkaliber.

Zambry berswafoto bersama peserta-peserta program Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) hari ini. - Foto: Bernama
Zambry berswafoto bersama peserta-peserta program Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) hari ini. - Foto: Bernama

Pada sesi itu juga, Zambry mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada MPP bagi 20 Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan tujuh Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

Artikel Berkaitan:

"Sebagai tanda menghargai penglibatan semua MPP dalam program ini, setelah berbincang dengan pihak pengurusan saya ingin umumkan setiap majlis perwakilan (MPP) bagi 20 IPTA dan tujuh IPTS, diperuntukkan RM20,000," katanya.

"Visi saya mahu melihat barisan perwakilan pelajar di depan saya ini menjadi pemimpin...mungkin ada dalam kalangan kamu semua akan menjadi Perdana Menteri atau memimpin negeri masing-masing," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28