PKR Perak kumpul dana RM2 juta beli bangunan baharu

Lih Kang (duduk, tengah) bersama pimpinan PKR Perak ketika sidang media sempena program Pemukiman Majlis Pimpinan PKR Perak pada Ahad.
Lih Kang (duduk, tengah) bersama pimpinan PKR Perak ketika sidang media sempena program Pemukiman Majlis Pimpinan PKR Perak pada Ahad.
A
A
A

PULAU PANGKOR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak sedang mengumpul dana berjumlah RM2 juta bagi membeli bangunan baharu untuk organisasi parti itu.

Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang berkata, satu jawatankuasa yang dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng bagi tujuan itu ditubuhkan.

Menurutnya, susulan itu usaha bagi mengutip dana tersebut akan dimulakan pada tahun ini.

"Kita menyasarkan dana sebanyak RM2 juta akan dikumpulkan bagi tujuan pembelian bangunan baharu itu dan beberapa siri program untuk mengumpul dana berkenaan akan dilaksanakan.

"Kami sasar dalam dua tahun bermula tahun ini untuk dana ini berjaya dikumpulkan," katanya kepada pemberita selepas program Pemukiman Majlis Pimpinan PKR Perak di sini pada Ahad.

Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri; Setiausaha PKR Perak, Mohd Azlan Helmi; Ketua Wanita PKR Perak, Zuraidah Zakaria; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Zaim Sidqi Zulkifly dan pimpinan negeri yang lain.

Beliau berkata, lokasi bagi bangunan baharu itu masih belum dikenal pasti dan akan berbuat demikian selepas dana yang disasarkan mencukupi.

Artikel Berkaitan:

Lih Kang (dua dari kanan) bersama pimpinan PKR Perak selepas sidang media sempena program Pemukiman Majlis Pimpinan PKR Perak pada Ahad.
Lih Kang (dua dari kanan) bersama pimpinan PKR Perak selepas sidang media sempena program Pemukiman Majlis Pimpinan PKR Perak pada Ahad.

Sementara itu, Lih Kang berkata, pemukiman yang diadakan bertujuan membincangkan pelbagai perkara termasuk hala tuju parti itu di peringkat negeri.

Menurutnya, selain itu mereka turut membincangkan mengenai usaha merancakkan aktiviti di peringkat cabang.

"Kita akan memperbanyakkan aktiviti yang tidak tertumpu di Ipoh tetapi di cabang-cabang. Mesyuarat pimpinan juga kita akan buat di cabang-cabang selain aktiviti bersama masyarakat yang lain.

"Kita juga akan melaksanakan program menyantuni rakyat dan memainkan peranan sebagai parti pemerintah untuk menyampaikan maklumat tentang kerajaan perpaduan apa yang ada di peringkat negeri dan pusat," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!