Tak timbul isu perlekeh slogan Sabah Maju Jaya - Bung Moktar

Bung Moktar bersama ahli UMNO Bahagian Beluran ketika hadir program Gerak17 UMNO Sabah bagi DUN Sugud di Dewan Masyarakat Beluran.
Bung Moktar bersama ahli UMNO Bahagian Beluran ketika hadir program Gerak17 UMNO Sabah bagi DUN Sugud di Dewan Masyarakat Beluran.
A
A
A

BELURAN - Tidak timbul isu rakyat memperlekehkan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Malah menurutnya, tidak juga timbul isu bahawa slogan itu seperti memperlekehkan slogan jata kerajaan Sabah atau tidak menghormati serta menyayangi negeri ini kerana ia adalah dua isu yang berbeza.

Bekas Timbalan Ketua Menteri itu berkata, rakyat meletakkan aspirasi yang tinggi terhadap slogan tersebut untuk melihat perubahan lebih mampan dalam aspek kemajuan serta pembangunan di negeri ini.

"Dalam konteks pembangunan membabitkan perkara asas yang benar-benar diharapkan oleh rakyat ialah perubahan dari segi pembangunan infrastruktur asas seperti sistem perhubungan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan ekonomi yang kini di tahap kritikal sehingga menjejaskan tahap kesejahteraan kehidupan mereka seharian.

"Jadi tidak timbul isu rakyat memperlekehkan slogan SMJ yang disamakan seperti memperlekehkan slogan jata negeri," katanya selepas menghadiri program Gerak17 UMNO Sabah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugud di Dewan Masyarakat Beluran, di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata lagi, Sabah Maju Jaya yang menjadi slogan dalam jata negeri diperkenalkan sejak 16 September 1988 tetap kekal dihormati oleh rakyat sebagai slogan rasmi Sabah.

"Namun yang dipertikaikan oleh rakyat ialah Slogan Maju Jaya sebuah pelan pembangunan negeri Sabah bagi tahun 2021-2025 yang dirangka oleh kerajaan dalam membawa kemajuan negeri ini yang rakyat fikirkan masih belum terlaksana walaupun tempoh pelan yang dirancang hanya berbaki setahun lagi.

"Rakyat menulis pelbagai komen sama ada positif atau negatif di media sosial mengenai slogan SMJ bagi menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan tidak terlepas untuk mereka melepaskan rasa tidak puas hati melalui tulisan di media sosial berhubung gagasan SMJ yang gah disebut, namun gagal direalisasikan.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat masih berhadapan dengan pelbagai isu terutamanya berkaitan infrastruktur asas, ekonomi dan sebagainya. Sebenarnya rakyat melihat slogan SMJ ini dari perspektif yang lebih luas, bukan sekadar slogan bersifat retorik semata-mata.

"Apa yang mereka harapkan slogan ini bukan sahaja pada ungkapan tapi perlaksanaannya turut dirasakan oleh rakyat ” katanya.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut menegaskan, parti itu akan terus konsisten dengan slogannya iaitu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat untuk meneruskan khidmat kepada rakyat di negeri ini.

"UMNO perlu bangkit perbetulkan keadaan ini, rakyat memerlukan pembelaan sewajarnya bukan dimomokkan dengan janji namun keadaannya tetap tidak berubah," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Savah, Datuk Seri Hajiji Noor terkilan bahawa slogan SMJ sering dipersenda dan diperlekeh oleh pihak tertentu melalui tulisan atau komen dalam media sosial.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!