GPMS sokong Tun M pangku Menteri Pendidikan

Mohd Alif Anas
Mohd Alif Anas
A
A
A

KOTA BHARU - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyambut baik dan menzahirkan kegembiraan dengan keputusan jawatan Menteri Pendidikan dipangku oleh Tun Dr Mahathir Mohamed.

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, Dr Mahathir sebagai penaung GPMS dilihat sebagai orang yang sangat layak dan berkredibiliti untuk memangku tugas tersebut.

"GPMS arif dan percaya bahawa keputusan ini adalah hak prerogatif Perdana Menteri dan tidak boleh dipersoal oleh mana-mana pihak.

"Malahan, GPMS mengambil maklum bahawa pemangkuan ini akan berjalan sehingga Tun M dapat menamakan Menteri Pendidikan yang baharu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, dengan pengalaman dan tugas sedia ada sebagai Perdana Menteri, ia dapat membantu mencorakkan pendidikan dengan lebih luas dan menarik selepas ini.

Pihaknya turut menyeru semua pihak kembali fokus dan bersatu dalam agenda mempertingkatkan kualiti pendidikan negara ke tahap lebih baik.

"GPMS juga mempunyai seluruh keyakinan pada kebijaksanaan Tun M untuk menegakkan agenda pendidikan Melayu," katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad memangku jawatan Menteri Pendidikan berikutan kekosongan ditinggalkan Dr Maszlee Malik.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, perkara itu telah dipersetujui jemaah menteri dalam Mesyuarat Pra Kabinet semalam.

Pada 2 Januari lalu, Dr Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa keesokan harinya.

Dr Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dilantik sebagai menteri pada Mei 2018.

Peletakan jawatan itu menimbulkan pelbagai spekulasi berikutan portal berita tempatan mendedahkan kandungan dipercayai satu surat arahan peletakan jawatan kepada Dr Maszlee.