Suami isteri antara empat ahli sindiket edar dadah

Kok Chin (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada keempat-empat suspek.
Kok Chin (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada keempat-empat suspek.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pasangan suami isteri antara empat ahli sindiket pengedaran dadah ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Tanjung Tokong dan pusat bandar, di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dua daripada mereka merupakan 'runner' bagi sindiket berkenaan.

Kesemua mereka yang merupakan warga tempatan berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun.

Dadah bernilai RM66,000 yang dirampas daripada suspek.
Dadah bernilai RM66,000 yang dirampas daripada suspek.

Menurutnya, dalam operasi bermula jam 10 malam Khamis hingga 11 pagi Jumaat itu, polis turut merampas 21 kilogram (kg) dadah jenis ganja termasuk 'jantung ganja' yang keseluruhannya bernilai RM66,000.

Difahamkan, jantung ganja itu merupakan pucuk bunga ganja dan ia mempunyai nilai yang tinggi iaitu RM5,000 sekilogram berbanding ganja biasa bernilai RM3,100 sekilogram.

"Dalam serbuan pertama, kita menahan dua lelaki di kawasan parkir kereta di Georgetown dan menemui satu kotak berwarna coklat mengandungi lima ketulan mampat dadah jenis ganja anggaran berat 5,000 gram bernilai RM17,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

Kok Chin menambah, serbuan kedua dibuat di Tanjung Tokong berjaya menahan seorang lelaki dipercayai ketua sindiket tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Hasil soal siasat lelaki berkenaan, polis menyerbu sebuah kondominium mewah di Tanjung Tokong lalu menahan seorang wanita. Suspek wanita itu adalah isteri kepada ketua sindiket tersebut.

"Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui sebuah kotak plastik berwarna biru yang mengandungi 14 ketulan mampat daun-daun kering dadah jenis ganja anggaran berat 12,000 gram bernilai RM37,000.

"Kita turut menemui sebuah kotak berwarna coklat mengandungi 14 bungkusan plastik dadah jenis ganja dengan anggaran berat 4,000 gram bernilai RM12,000," katanya.

Beliau menambah, polis turut merampas pucuk ganja yang dikenali jantung ganja yang mempunyai harga yang tinggi.

"Permintaan pucuk ganja dalam kalangan penagih tinggi dan harganya lebih mahal dari jenis ganja sedia ada namun begitu pengeluaran pucuk ganja ini amat terhad.

"Sindiket ini aktif sejak September tahun lalu untuk pasaran tempatan. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 50,000 orang atau 50,000 kali penggunaan," katanya.

Kok Chin berkata lagi, hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis THC manakala tiga lagi negatif.

"Seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah. Semua suspek direman tujuh hari sehingga 14 Mac untuk siasatan.

"Kita turut menyita dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Proton Perdana dan sebuah motosikal bernilai RM12,500," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!