Skuad ragbi mahu bersedia awal

Mohd Farid Syazwan. Foto Bernama
Mohd Farid Syazwan. Foto Bernama
A
A
A

SKUAD ragbi kebangsaan telah memulakan persediaan lebih awal pada kali ini, selepas menjadi pasukan belasahan kepada Hong Kong dan Korea Selatan pada Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC), tahun lepas.

Ketua Jurulatih skuad Bunga Raya 15-sebelah (15s), Mohd Farid Syazwan Abu Bakar merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya enam kem latihan sebelum ARC kali ini yang dijadualkan pada awal Jun.

Skuad berkenaan yang kini menjalani kem latihan pusat fasa pertama di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, juga akan mengharungi aksi persahabatan menentang kelab tempatan Barbarian, pada petang Sabtu.

"Kem ini untuk memperbaiki kelemahan yang kita kenal pasti, berdasarkan prestasi pasukan pada 2023. Kita juga mahu beraksi dalam dua perlawanan ujian dengan pasukan kebangsaan yang masih lagi cuba untuk mendapatkan kepastian atau kesediaan pasukan berkenaan," katanya menerusi sebuah klip video.

Mohd Farid Syazwan berkata, saingan divisyen teratas ARC kali ini dijangka lebih sengit berbanding tahun lepas, ditambah pula dengan kehadiran pasukan tambahan Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada edisi kali ini.

"Pasukan UAE mempunyai pemain expatriate dan pemain naturalisasi daripada Fiji. Namun kami yakin dengan bakat-bakat tempatan yang dikenal pasti, kita akan cuba sehabis baik untuk membantu pasukan kali ini," katanya.

Mohd Farid Syazwan berkata, barisan kejurulatihan telah memanggil enam muka baharu ke skuad Bunga Raya 15s kali ini, manakala mengekalkan 24 pemain daripada edisi lepas dan memanggil semula lima pemain lama yang tiada dalam pasukan sebelum ini.

Beliau berkata, penilaian pemain diadakan berdasarkan Piala Agong 2023 yang berakhir November lepas dan Kejohanan Ragbi Super Korporat (CSR) baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Skuad negara dijadualkan membuka kempen ARC 2024 menentang Korea Selatan di Incheon pada 2 Jun, kemudian menerima kunjungan Hong Kong (8 Jun) dan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 21 Jun di Dubai.

Pada edisi lepas, skuad Bunga Raya 15s dibelasah 3-27 oleh Korea Selatan dan 9-88 oleh juara bertahan Hong Kong. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!