Bekas SUPOL Anwar saman Ahli Parlimen Machang, tuntut RM10 juta

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menuntut Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membayar ganti rugi berjumlah RM10 juta atas dakwaan memfitnahnya.

Farhash Wafa selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co di Mahkamah Tinggi di sini, pada 22 Januari lepas, dengan menamakan Wan Ahmad Fayhsal sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh media, Farhash Wafa mendakwa Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu telah membuat kenyataan fitnah terhadapnya pada sidang media di pekarangan Bangunan Parlimen, 14 November tahun lepas.

Bekas Pengerusi PKR Perak itu mendakwa kenyataan itu bermaksud antaranya beliau (plaintif) telah menawarkan rasuah atau mengugut Ahli Parlimen lain untuk menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen dan kerajaan semasa.

Plaintif turut mendakwa kenyataan itu juga bermaksud kononnya beliau telah bersekongkol atau memberi arahan kepada individu yang dikenali sebagai "Datuk Botak", bagi menawarkan rasuah atau mengugut Ahli Parlimen lain untuk memperoleh sokongan kepada Perdana Menteri di Parlimen.

Selain itu, Farhash Wafa berkata kenyataan itu juga menggambarkan kononnya beliau telah menyalahgunakan kedudukan dan reputasinya sebagai individu ternama di dalam negara.

Menurut plaintif, kenyataan fitnah itu telah diterbitkan di beberapa media sosial iaitu YouTube Rasmi Parlimen Malaysia, TikTok dan WhatsApp, yang mana ia boleh dilihat oleh individu di dalam dan luar negara yang menggunakan aplikasi berkenaan.

Farhash Wafa mendakwa kenyataan fitnah itu adalah niat jahat defendan untuk memusnahkan reputasi plaintif bagi menagih sokongan orang ramai terhadap defendan atau parti politik selain memprejudiskan serta merendahkan perwatakan profesional dan kepimpinan plaintif sebagai rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Defendan juga mahu memalukan saya yang merupakan pengerusi dan pengarah beberapa syarikat tersenarai awam seperti 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dan Apex Equity Holdings Berhad,” dakwa plaintif.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas sebanyak RM10 juta dan ganti rugi pampasan, am, teruk serta teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya daripada Wan Ahmad Fayhsal.

Beliau juga memohon antaranya satu perintah injunksi bagi menghalang Wan Ahmad Fayhsal atau mana-mana ejennya daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu dalam apa cara sekalipun dan memohon perintah mahkamah supaya defendan memadamkan hantaran yang dibuat di mana-mana laman sosial kawalannya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!