LKAN: Felda akan tingkat kecekapan operasi, tadbir urus

Felda akan terus meningkatkan kecekapan operasi dan tadbir urus yang telus.
Felda akan terus meningkatkan kecekapan operasi dan tadbir urus yang telus.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan terus meningkatkan kecekapan operasi dan tadbir urus yang telus dan mengoptimumkan kecekapan produktiviti, supaya agensi itu terus relevan pada masa hadapan.

Merujuk Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai penyata kewangan Agensi Persekutuan 2022 yang menunjukkan Felda mengalami kerugian selepas cukai sebanyak RM1.005 bilion, Felda memaklumkan kerugian itu tidak merujuk kepada salah guna, amalan rasuah dan kelemahan tatakelola pengurusan.

Felda menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan kerugian tersebut disebabkan faktor kesan ke atas penyahiktirafan dan pengukuran semula pinjaman peneroka dengan nilaian RM339.01 juta atas tujuan meringankan bebanan warga peneroka.

Selain itu, Penjamin Korporat bagi pinjaman pembelian PT Eagle High Plantations yang dibuat melalui FIC Properties Sdn Bhd sebanyak RM379.85 juta serta penjejasan pinjaman kepada anak-anak syarikat seperti Kumpulan FIC dan Dataran Aras Sdn Bhd berjumlah RM192.66 juta.

Menurut kenyataan itu pada 2022, Felda merekodkan keuntungan operasi RM19.56 juta manakala Kumpulan Felda telah merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM449 juta.

Pada Rabu, LKAN mengesyorkan Felda perlu menetapkan satu hala tuju baharu yang jelas, supaya dapat terus beroperasi dengan prestasi kewangan yang kukuh tanpa kebergantungan tinggi kepada bantuan dan sokongan kewangan kerajaan Persekutuan.

Laporan itu turut mencadangkan Felda meningkatkan pemantauan terhadap operasi dan prestasi kewangan syarikat subsidiarinya, bagi memastikan kelestarian syarikat dapat dikekalkan tanpa bergantung kepada agensi induk, seterusnya mampu memberi pulangan yang baik kepada Felda. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: