Lebih 1,000 usahawan wanita terima bantuan kewangan SME Corp tahun lalu

SME Corp turut membantu usahawan wanita melalui Program TUBE menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan. - Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Rizal Nainy
SME Corp turut membantu usahawan wanita melalui Program TUBE menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan. - Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: Rizal Nainy
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 1,065 usahawan wanita menerima manfaat melalui bantuan kewangan berjumlah RM22.6 juta daripada SME Corporation Malaysia (SME Corp) iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun lalu.

Jumlah itu merangkumi hampir 40 peratus daripada bilangan keseluruhan 2,708 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menerima manfaat daripada program pembangunan untuk industri tersebut dengan nilai bantuan berjumlah RM92.6 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, pencapaian tersebut juga berjaya melepasi sasaran awal yang ditetapkan oleh pihaknya bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penerima manfaat terdiri daripada usahawan wanita.

"Antara program yang banyak memberi manfaat kepada usahawan wanita ialah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) yang mana seramai 548 peserta atau 48 peratus daripada jumlah keseluruhan peserta iaitu 1,142 terdiri daripada usahawan wanita dengan bantuan bernilai RM1.7 juta.

"SME Corp juga telah membantu usahawan wanita melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang bertujuan menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan.

"Daripada 555 peserta yang telah diluluskan geran perniagaan berjumlah RM10 juta, separuh daripadanya atau 50 peratus ialah belia wanita iaitu seramai 280 peserta yang telah diluluskan geran perniagaan berjumlah RM4.3 juta.

"Selain itu, SME Corp juga telah melaksanakan Program Pengukuhan Eksport PMKS yang bertujuan meningkatkan keupayaan pra-eksport sektor berkenaan serta menambah bilangan yang berpotensi menembusi pasaran global. Seramai 121 PMKS milikan wanita telah mendapat kelulusan berjumlah RM3.3 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, program lain yang turut mencatatkan penyertaan memberangsangkan usahawan wanita ialah Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP), Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Geran Perniagaan Mikro (GPM) yang telah berjaya memanfaatkan lebih 100 usahawan wanita dengan kelulusan geran bernilai lebih RM12 juta bagi tujuan pembangunan kapasiti perniagaan mereka.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rizal turut memaklumkan, bagi tahun ini sebanyak RM134.6 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan program dengan sasaran lebih 16,700 PMKS bakal menerima manfaatnya pada tahun ini termasuklah usahawan wanita, sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi Madani yang lebih saksama, inklusif dan mampan.

Ujarnya, tahun ini juga SME Corp akan kembali menganjurkan Anugerah Enterprise 50 (E50) iaitu program anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian 50 PMKS terunggul di Malaysia.

"Bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan usahawan wanita, salah satu Anugerah Khas yang telah diwujudkan di bawah Anugerah tersebut ialah Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, bagi mempermudah PMKS memohon bantuan yang ditawarkan, mereka boleh memanfaatkan permohonan secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu Penarafan & Insentif PMKS (MyBPI) yang baru diperkenalkan tahun ini.