KPDN akan pastikan peruntukan dibelanja tanpa ketirisan - Armizan

Armizan. Foto Bernama
Armizan. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan peruntukan sedia ada kementerian itu dibelanjakan dengan baik tanpa sebarang ketirisan.

Menteri berkenaan, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setiap sen daripada peruntukan itu akan disalurkan bagi program-program menangani isu kos sara hidup.

"Setiap sen penting dibelanjakan untuk capai matlamat dan seterusnya berikan impak besar kepada rakyat kita,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan KPDN di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memberikan suntikan peruntukan RM200 juta bagi inisiatif Payung Rahmah menerusi Belanjawan 2024 Malaysia Madani.

Inisiatif di bawah Payung Rahmah diperkenalkan bertujuan membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Mengenai kehadiran Amir Hamzah pada perhimpunan bulanan itu, Armizan berkata, beliau menjemput Menteri Kewangan II sebagai langkah memaknai pendekatan keseluruhan kerajaan yang ditekankan oleh Kerajaan Perpaduan.

"Biar kita tunjukkan dalam perhimpunan bulanan, bukan satu yang pelik untuk jemput menteri dari kementerian lain untuk bersama dalam platform KPDN,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama KPDN dengan Kementerian Kewangan penting dalam menangani masalah kos sara hidup serta memastikan program yang telah dirancang oleh kerajaan berjaya mencapai matlamatnya.

Artikel Berkaitan:

"Penyasaran semula subsidi diesel perlu kerjasama rapat MOF dan KPDN. Program seperti sumbangan tunai rahmah (STR) dan sumbangan asas rahmah (Sara) merupakan antara agenda kerajaan yang secara langsung menjurus kos sara hidup.

"Ia menuntut kepada kerjasama rapat MOF dan KPDN untuk menilai sejauh mana pelaksanaan program itu dan ia berikan impak besar dalam kita mengurangkan isu kos sara hidup,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28