RM1,935 juta subsidi kepada pengguna elektrik Semenanjung

Kerajaan peruntukan RM1,935 juta untuk pemberian subsidi kepada pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh Januari hingga Jun 2024. Foto hiasan
Kerajaan peruntukan RM1,935 juta untuk pemberian subsidi kepada pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh Januari hingga Jun 2024. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1,935 juta untuk pemberian subsidi kepada pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh Januari hingga Jun 2024, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

Petra memaklumkan pemberian subsidi itu bagi memastikan peningkatan harga bahan api di pasaran dunia bagi penjanaan elektrik tidak dilepaskan sepenuhnya kepada rakyat.

"Kerajaan tidak dapat mengetahui jumlah pengguna elektrik yang berpendapatan dalam kategori M40. Ini adalah kerana bil elektrik pengguna adalah bersandarkan kepada penggunaan tenaga elektrik mereka dan bukannya berdasarkan pendapatan isi rumah.

"Walaupun begitu, pengguna domestik yang menggunakan elektrik di bawah 600 kWj sebulan (anggaran bil elektrik di bawah RM223.51) iaitu kira-kira 84.4 peratus pengguna domestik di Semenanjung kekal dilindungi dan masih menerima rebat dua sen/kWj sebagai sebahagian daripada inisiatif penyasaran semula subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan,” menurut Petra dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Kapten Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) yang ingin tahu adakah kementerian akan membuat pentaksiran semula ke atas kadar tarif elektrik yang meningkat iaitu sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan rakyat M40 bermula Januari lepas.

Petra memaklumkan sebelum ini kerajaan memutuskan bermula Januari hingga Jun 2024, kira-kira 1.2 juta pengguna domestik dengan penggunaan antara 601 kWj sehingga 1500 kWj yang mewakili kira-kira 14.7 peratus daripada pengguna domestik di Semenanjung tidak lagi diberikan rebat dua sen/kWj serta pada masa yang sama tidak dikenakan surcaj.

Keputusan itu bermakna bahawa pengguna dengan anggaran bil elektrik bulanan antara RM250 hingga RM794.30 akan membayar tambahan antara RM12 hingga RM32 sahaja sebulan.

"Sungguhpun demikian, kerajaan masih prihatin dan memperuntukkan subsidi berjumlah RM266.19 juta untuk menampung kadar surcaj sebenar yang sepatutnya dilepaskan kepada pengguna dalam kategori tersebut,” menurut kementerian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: