Remaja OKU lemas ketika main air dalam parit

Anggota bomba mengangkat mayat remaja OKU yang ditemui lemas ketika bermain air longkang di Jalan Rajawali 16, Taman Wawasan, Kulai. - Foto BBP Kulai
Anggota bomba mengangkat mayat remaja OKU yang ditemui lemas ketika bermain air longkang di Jalan Rajawali 16, Taman Wawasan, Kulai. - Foto BBP Kulai
A
A
A

KULAI - Seorang remaja lelaki kurang upaya (OKU) ditemui lemas selepas terjatuh ketika bermain air di parit di Taman Wawasan di sini pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Tan Seng Lee, pihaknya menerima panggilan daripada MERS999 berhubung insiden itu pada jam 9.40 malam Selasa daripada seorang lelaki tempatan yang memaklumkan anak lelakinya itu telah dibawa arus ketika bermain dalam parit di Jalan Merpati.

"Siasatan yang dijalankan mendapati mangsa bersama rakannya telah bermain dalam parit yang berarus deras ketika cuaca hujan.

"Sejurus menerima maklumat tersebut, operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan oleh pasukan polis bersama pasukan bomba, namun operasi tersebut dihentikan pada jam 2 pagi, Rabu kerana keadaan cuaca yang buruk.

"Operasi diteruskan pada jam 9 pagi Rabu dan hasilnya, mayat mangsa telah dijumpai sekitar jam 12.30 tengah hari di kawasan Parit Taman Saujana Impian yang berada sekitar empat kilometer (km) dari tempat mangsa dilaporkan hilang," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya telah disahkan oleh keluarga dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan.

"Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 9.41 malam pada Selasa.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu jentera Pasukan Perkhidmatan Perawatan Kecemasan (EMRS), satu jentera utiliti Hilux dari BBP Kulai dengan tujuh anggota telah dihantar ke lokasi.

Artikel Berkaitan:

"Setibanya tiba di lokasi didapati seorang mangsa OKU berumur 17 tahun dipercayai lemas ketika bermain air di longkang.

"Kerja-kerja pencarian awal dilakukan di sekitar kawasan di mana mangsa kali terakhir dilihat.

"Operasi hari kedua pada Rabu melibatkan pencarian di sepanjang tali air dan berjaya menemui mangsa pada jarak lima kilometer (dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh," katanya.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan sekitar jam 1.28 petang pada Rabu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!<

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!<