PISA: KPM ambil langkah untuk tambah baik kedudukan

Wong Kah Woh
Wong Kah Woh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil langkah segera untuk memperbaiki kedudukan negara pada Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) susulan penurunan kedudukan negara pada 2022.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif sebagai usaha memperbaiki kualiti pencapaian murid dalam pentaksiran pada peringkat antarabangsa.

Susulan itu katanya, pihaknya telah mengenal pasti beberapa aspek baharu yang perlu ditambah baik, antaranya menyemak dan menilai kandungan kurikulum kebangsaan dengan memberi penekanan terhadap keperluan kandungan yang berfokus dan mendalam bagi pembelajaran secara aktif.

"Selain itu penambahbaikan juga akan dilakukan dari sudut menggalakkan penggunaan peranti digital dalam pembelajaran, meneliti semula syarat agihan bantuan yang memberi fokus kepada murid sosioekonomi rendah, meneliti semula agihan sumber secara optimum merangkumi guru, peranti, infrastruktur, bahan sumber dan sebagainya.

"Di samping menambah baik keyakinan murid untuk belajar secara terarah kendiri (self-directed learning), menyokong pembelajaran anak di rumah melalui penglibatan ibu bapa, meningkatkan keupayaan guru sebagai pembimbing, pemudah cara dan pendidik yang mempunyai pengaruh yang besar terhadap kesejahteraan dan pembelajaran murid," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung tindakan KPM berikutan prestasi merosot Malaysia dalam PISA 2020 bagi skor Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

PISA merupakan kajian pentaksiran antarabangsa yang mengukur pencapaian pelajar berumur 15 tahun dalam tiga domain literasi serta program pentaksiran dan kajian perbandingan anjuran OECD.

Pada pusingan PISA 2022, OECD selaku penganjur kajian melaporkan bahawa dalam Literasi Matematik sebanyak 58 negara mencatatkan prestasi penurunan dalam mata skor berbanding dengan PISA 2018, dua negara kekal dan 13 negara menunjukkan peningkatan dalam mata skor.

Artikel Berkaitan:

Bagi Literasi Saintifik sebanyak 36 negara mencatatkan penurunan dalam mata skor, dua negara kekal dan 34 negara menunjukkan peningkatan mata skor.

Bagi Literasi Bacaan sebanyak 55 negara mencatatkan penurunan dalam mata skor dan 17 negara menunjukkan peningkatan dalam mata skor.

Dalam konteks Malaysia, pencapaian negara menunjukkan trend yang meningkat sejak penyertaan pada pusingan PISA 2009.

Bagaimanapun, pencapaian telah menurun dengan agak ketara dalam pusingan PISA 2022.

Sebanyak lapan negara ASEAN mengambil bahagian dalam kajian PISA 2022 daripada jumlah keseluruhan 81 buah negara.

Dapatan PISA 2022 menunjukkan bahawa Singapura, Vietnam dan Brunei mengatasi Malaysia dalam ketiga-tiga domain literasi yang ditaksir, manakala Malaysia mengatasi Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja dalam ketiga-tiga domain literasi yang ditaksir.