[VIDEO] Hubungan kaum, agama semakin parah di Malaysia

Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

MUKADIMAH

[VIDEO] Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengingatkan kerajaan bahawa jika isu-isu perkauman dan agama tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh menghancurkan Malaysia.

Hussamuddin dalam kenyataannya kepada akhbar ini di Shah Alam semalam menyifatkan suasana hubungan kaum dan agama di negara ini semakin parah terutama sejak 20 bulan lalu.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf menggesa sesuatu yang drastik dilakukan oleh kerajaan termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri-menteri Kabinet bagi menangani masalah tersebut.

Jika perlu, kata beliau, mana-mana akhbar dan portal yang mengapi-apikan isu-isu perkauman perlu ditutup.

Berikut ialah laporan penuh kenyataan Hussamuddin.

SAYA terpanggil untuk memberikan kenyataan ini kerana saya melihat kepada petanda yang tidak sihat sedang berlaku di negara kita. Bila isu hiasan tanglung di sebuah sekolah diprotes dan tujuh orang menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail) terpaksa turun ke sekolah untuk mempertahankan tanglung, saya melihat ada sesuatu yang tidak kena. Semasa saya kecil, kita bermain tanglung. Kita beli tanglung dan sambut bersama-sama dengan orang Cina.

Saya melihat tindakan tujuh menteri turun ke sekolah untuk menyelamatkan tanglung tidak produktif. Ia hanya menyebabkan orang Islam yang tidak benci tanglung sekarang semakin benci dengan tanglung. Mereka boleh bezakan apabila isu jawi diasak oleh Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) dan pemimpin bukan Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu senyap. Ini menyebabkan orang Melayu marah.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga dari kanan) menandatangani tanglung ketika hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, Selangor kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga dari kanan) menandatangani tanglung ketika hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, Selangor kelmarin.

Saya bukan seorang yang cauvinis. Sejarah membuktikan saya dibesarkan dalam kawasan orang Cina. Kawan-kawan saya semua orang Cina, orang bukan Melayu. Saya bersekolah dengan orang bukan Melayu. Jadi saya seorang yang sudah hidup dalam zaman harmoni. Tetapi bila saya lihat keadaan kini, saya rasa wujud pengurusan yang salah oleh kerajaan sekarang. Ia dibawa oleh pengurusan kerajaan yang tidak bagus sebelum ini tetapi tidak ditangani dengan baik oleh pengurusan kerajaan sekarang.

Saya bukan orang politik, bukan seorang pemimpin. Saya hanya seorang penjual surat khabar dan penjual buku. Kenapa saya terpanggil untuk bercakap isu ini? Sebab dalam aplikasi WhatsApp sudah ada pihak mula pungut nama orang hendak berjihad. Ini sangat bahaya. Dengan apa yang berlaku di Iran dan Iraq, semangat orang Islam sedang membara. Saya rasa semua ini perlu dihentikan.

Hentikan semua ini

Pemimpin kena lakukan sesuatu untuk hentikan semua ini. Jangan biarkan. Kita sudah biarkan isu jawi, isu Dr Zakir Naik selama beberapa bulan. Yang menentang adalah pemimpin dalam kerajaan sendiri. Sedangkan isu jawi kerajaan yang cadangkan. Jadi apa semua ini? Seruan saya kepada semua pemimpin, tolong lakukan tindakan yang tepat dan bukannya tindakan bersifat popular semata-mata.

Saya tahu saya mengambil risiko yang tinggi. Saya orang kecil tetapi saya sayangkan negara saya. Saya tidak mahu negara saya terbakar kerana orang Melayu sekarang ini sedang meluat dan marah. Bagi saya isu ini remeh. Isu ini kecil. Apa jadi dengan toleransi yang kita bina bertahun-tahun?

Tetapi sekarang bila timbul isu tiga muka surat untuk memperkenalkan jawi di sekolah dan jawi yang hendak diperkenalkan adalah yang ada dalam logo polis dan wang kertas. Sebenarnya itu cara untuk mengenali negara kita sedangkan wang negara China pun ada jawi. Pengajaran jawi ditentang oleh Dong Zong dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) daripada bukan Islam.

Jadi apa yang anda hendak lakukan? Inilah menyebabkan orang semakin tidak yakin kepada PH. Kita pilih PH untuk mengharapkan perubahan daripada tidak baik kepada lebih baik tetapi sekarang kesan paling tidak baik. Dahulu walaupun tidak begitu harmoni tetapi keadaan tidak seteruk sekarang.

Saya keluar untuk memberi seruan kepada pemimpin, kepada rakyat dan media, jangan apikan ini lagi. Jangan sampai terbakar terutamanya portal-portal, kalau netizen itu memanglah kita faham kerana mereka emosi.

Kehidupan mereka susah, ekonomi tidak baik, mereka emosi tetapi portal-portal yang besar mengapi-apikan. Sebagai contoh, kes soalan Dr Zakir Naik di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Ia satu isu kecil. Soalan dalam subjek etnik dan di peringkat universiti, kita seharusnya terbuka kepada fikiran-fikiran sebegitu tetapi Lim Kit Siang pun komen.

Jadi saya rasa kalau orang macam Lim Kit Siang pun ambil isu kecil yang remeh ini, yang hanya berapa orang ambil peperiksaan itu, tetapi kerana ada hantu yang berkongsi dan diambil oleh portal dan dikomen oleh jaguh-jaguh yang hendak jadi wira kepada bangsa mereka. Mereka jaguh yang berfikiran kecil. Kalau tokoh berfikiran besar, mereka tidak akan buat tindakan seperti itu kerana isu ini remeh. Tetapi dengan sendirinya orang Cina marah. Orang India marah dengan UniMAP. Minta Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berhenti.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan salahkan Dr Zakir Naik sahaja

Orang Melayu tidak marah ke? Bila kamu semua bercakap, kamu tidak kaji kesannya kerana kamu mahu jadi wira orang Cina, India dan orang Melayu pula membalas nak jadi juara. Jadi untuk sebarang tindakan akan ada kesannya. Jadi hentikan perkara sia-sia ini.

Sepatutnya lagi tinggi kita sebagai pemimpin, lagi bijak. Pemimpin sepatutnya membawa penyelesaian. Isu jawi, isu Dr Zakir Naik, isu UniMAP. Semua itu masalah. Semuanya ada jalan penyelesaian. Jalan penyelesaiannya adalah bertimbang rasa. Kalau kita biarkan selama 20 bulan didebatkan secara terbuka dan pemimpin-pemimpin yang berotak kecil komen dengan mulut yang lantang menyebabkan isu menjadi besar dan membakar semangat orang Cina yang tidak faham isu jawi itu tiga muka surat, mereka ingat hendak tukar agama ke?

Semasa kecil saya dibesarkan dalam 90 peratus masyarakat Cina. Saya tidak jadi macam Cina. Hari-hari saya pergi rumah Cina. Kawan saya orang Cina, datang makan rumah saya. Ayah saya ustaz. Mereka tidak masuk Islam. Tetapi kenapa dulu harmoni? Kerana kamu semua main politik perkauman dan sekarang negara sedang hampir terbakar. Anda semua perlu hentikannya. Saya minta maaf. Saya bercakap dalam nada ini. Walaupun saya orang kecil, saya sayang negara saya, saya sayang bangsa saya dan saya yakin majoriti rakyat bersetuju dengan saya. Cuma mereka tidak bercakap.

Isu jawi

Contoh dalam isu jawi yang sebegitu ringan, apa yang kita perlu buat ialah menteri-menteri yang bukan Islam ini perlu perjelaskan kepada Dong Zong. Berapa ramai orang bukan Islam masuk Islam. Lebih ramai orang bukan Islam masuk Kristian. Dan ada orang Melayu yang pindah agama. Tetapi kita besarkan isu kecil.

Saranan saya kita kena bertolak ansur. Hentikan sekarang. Hentikan perbincangan terbuka. Arahkan semua media termasuk Sinar Harian. Saya sanggup dan akur. Sinar Harian kenapa kadang-kadang kita terpaksa jawab sebab media-media lain gasak. Awak tengok sejarah saya selama 40 tahun dalam Kumpulan Karangkraf. Saya buat Watan, Eksklusif. Kita sederhana. Betul kita kritikal tetapi kita bertanggungjawab.

Sekarang keterbukaan media, kualiti wartawan sudah hancur. Dia menulis tidak kira sensitiviti. Tajuk-tajuk juga menghancurkan. Saya seru kerajaan kawal mereka ini.

Sinar Harian sepatutnya, kalau dari segi portal, kita paling tinggi dan saya buat seruan ini bukan saya takut Malaysiakini, The Malaysian Insight. Kami lagi tinggi kedudukannya daripada mereka. Lihatlah rekod media sosial kami. Orang Melayu percaya kepada kita. Orang Melayu mengharapkan kita. Dan mesej saya kepada anda semua bahawa yang memenangkan PH, bukan orang Cina. Yang memenangkan orang PH adalah 10 hingga 15 peratus orang Melayu yang kecewa dengan pentadbiran lama, yang memberi sokongan kepada pentadbiran PH.

Jadi kenapa pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH sunyi senyap dalam isu jawi. Amanah dan PKR tidak bercakap. Membiarkan Dr Maszlee Malik seorang diri. Sedangkan di sebelah sana pemimpin kecil jangan kira, pemimpin negara pun menentang. Jadi kalau betul nak selamatkan negara, kita perlu lakukan sesuatu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hiasan tanglung tak ancam keselamatan: Wan Azizah

Semua orang terutama pemimpin dahulu kena berhenti bercakap isu ini dan berhenti mengapikan isu-isu ini. Maknanya kita kena rasional dan tawarkan penyelesaian.

Bagi saya senang, Dong Zong sudah berapa puluh tahun lamanya berkeras dalam isu ini dan sekarang tengok apa jadi, kesannya semakin buruk.

Tengok negara lain. Saya bukan chauvanis tetapi pergilah ke Thailand. Orang Cina ke, orang India ke, orang Pakistan ke, orang Pashtun pun. Semua cakap Siam, boleh faham bahasa Siam.

Sekarang kerana anda tidak terima bahasa Melayu, tidak mahu belajar bahasa Melayu, (dalam soal ini) saya tidak bercakap sekolah satu aliran. Anda hendak belajar bahasa Melayu pun tidak mahu. Selagi anda berkeras, orang Melayu akan berkeras dan isu ini akan diambil kesempatan oleh orang dipengaruhi emosi negatif yang ada kepentingan (tertentu). Jadi kita kena bersikap terbuka menerimanya.

Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Cadangan saya mudah sahaja. Pemimpin DAP dan PKR yang ada dalam PH kena faham betul-betul kandungan tiga muka (pengenalan tulisan jawi dalam buku teks sekolah rendah).

Mereka kena anjurkan jelajah bagi memberi penerangan dan meyakinkan orang ramai bahawa semua pihak boleh terima dengan hati terbuka.

Bila mereka boleh menerimanya, orang Melayu tidak akan mempersoalkan pasal isu tanglung kerana (tradisi itu) sudah berpuluh tahun kita terima.

Punca orang Melayu marah Dong Zong hanya disebabkan mereka tidak terima jawi. Tetapi saya tidak akan sokong anda kalau kerajaan atau Dr Maszlee (mahu menetapkan) semua pengajian bahasa Melayu dalam jawi. Saya akan menjadi antara orang menentangnya.

Akan tetapi, kerana tiga muka surat sahaja pun yang kandungannya bukan semua tulisan jawi, ini pun payah kamu tidak boleh terima. Kalau kamu mahu hidup harmoni beratus tahun lagi, kamu kena terbuka terima pengenalan tulisan jawi.

Jadi (sekiranya) anda terima ini, orang Melayu akan reda dan tidak akan mempersoalkan tradisi pakai tanglung atau tidak mempersoalkan sekolah Cina dan sebagainya.

(Mengenai) isu (penceramah terkemuka) Dr Zakir Naik, apa Zakir Naik boleh buat. Dia hanya mewakili satu orang sahaja. Mengapa anda sangat takut dan dengar nama dia sahaja sudah histeria macam ada hantu?

Jadi saranan saya kalau mahu keamanan, kedua-dua pihak (perlu bersikap terbuka) dan seruan saya kepada orang Melayu, kita kena berubah dan kita tidak lagi bersentimen.

Agama kita mengajar soal toleransi dan dalam al-Quran ada cakap kita kena menghormati penganut agama lain dan tanggungjawab kita adalah untuk melindungi mereka. Tetapi saya boleh faham mengapa orang Cina takut Islam, perangai orang Islam pun hodoh.

Di masjid pun boleh bergaduh. Majoriti jawatankuasa masjid bergaduh sesama sendiri. Kalau di masjid pun bergaduh, apatah lagi di tempat lain.

Sekiranya sumbangan diterima digunakan untuk bantu orang miskin, pastinya tiada masyarakat B40 atau BR1M kerana sistem Islam cukup cantik.

Tetapi mereka yang mengurus tidak betul. Buat apa bina masjid cantik-cantik tetapi tidak ada orang datang? Kenyataan saya ini mungkin buat orang Melayu marah tetapi ini adalah realiti yang dihadapi oleh masyarakat kita. Kenapa orang Cina takut, kerana kita sendiri tidak betul.

ARTIKEL BERKAITAN: World #QuranHour suntik semangat masyarakat mendekati al-Quran

Sekarang kita kena betulkan, sebab itu saya buat World Quran Hour. Saya buat kempen mengaji al- Quran, supaya orang Melayu faham agama mereka. Bila anda faham agama anda sendiri, maka anda akan ada kerangka pemikiran al-Quran.

Bila ada sistem operasi al-Quran, dengan sendiri akhlak anda akan menjadi terpuji. Kita hanya sibuk dengan majlis-majlis besar tetapi melupakan kepada pengisiannya.

Jadi kepada pemimpin Melayu, cukup-cukuplah dengan aktiviti-aktiviti tidak mendatangkan hasil. Sila baiki taraf hidup orang Melayu. Tanya diri, berapa peratus orang Melayu yang memahami Islam.

Tanya ustaz-ustaz yang mengajar agama. Saya tahu saya akan diserang kerana kenyataan ini tetapi tidak mengapa. Sekurang-kurangnya saya boleh menjawab di padang Mahsyar nanti. Saya ada kuasa, saya ada kebolehan, saya ada media dan saya sudah sampaikan kepada orang Islam.

Sebenarnya kita mengalami kegagalan besar dalam menjadi seorang muslim sebenar. Sebab apa? Sebab kita tidak betul-betul mengamalkan Islam. Mengapa dahulu orang tertarik dengan Islam? Kerana akhlak pemimpinnya, bagaimana dia bercakap dan budi bahasanya.

Tetapi kalau kita asyik sebar fitnah melalui WhatsApp, Islam apa itu? Orang susah sekeliling masjid kita tidak tolong. Kita sibuk main golf, anak kita biarkan. Masalah kita hadapi ini bukan masalah dibawa pimpinan negara tetapi masalah rakyat sendiri. Orang Cina takut kerana perjalanan kehidupan orang Melayu sendiri tidak betul.

Dr Zakir Naik
Dr Zakir Naik

Pergi masjid, dengar khutbah berpuluh tahun tetapi perangai masih sama tak berubah. Islam adalah cara hidup dan mati. Orang macam Zaid Ibrahim dan Siti Kassim, misalnya, hanya melihat Islam sebagai agama yang hanya memikirkan soal kematian. Sedangkan Islam bukan begitu.

Kalau kita hayati al-Quran, Islam mempromosi budaya berjaya dalam hidup. Kita tengok perjalanan sirah bagaimana sahabat nabi pada zaman 700 tahun hijrah terawal. Bagaimana orang Islam berjaya kerana mereka benar-benar memahami Islam, mengamalkan ajaran al-Quran dan berakhlak tinggi.

Zaman kita sekarang akhlak kita teruk. Dengan pemimpin rasuah, menipu, menggunakan kemudahan tetapi tidak jaga rakyat. Peruntukan dibelanjakan untuk membiayai pesta-pesta termasuk jabatan menguruskan Islam. Kita kena perbetulkan kalau mahu selamatkan negara, ummah dan agama Islam.

Kita kena betulkan diri kita dahulu. Kena pastikan akhlak anak kita betul. Kita kena ajarkan mereka al-Quran, fahamkan mereka al-Quran, bentukkan peribadi mereka supaya mereka hendak menjadi orang hendak berjaya di dunia dan di akhirat.

Supaya mereka mati boleh masuk syurga, dengan sendirinya cara hidupnya akan bagus dan akan baik.

Dengan itu orang bukan Islam akan rasa selamat. Jadi pastinya tidak akan timbul isu Jawi dan sebagainya. Pemimpin kena betulkan sikap orang Melayu kerana mereka ada kuasa untuk buat keputusan.

Isu Zakir Naik kecil saja. Kita perlu yakinkan kepada orang bukan Islam bahawa isu jawi, yakinkan dan pastikan Dong Zong terbuka menerimanya. Kadang-kadang kita terpaksa korbankan sesuatu masalah bagi menyelesaikan masalah lebih besar.

Komunikasi itu penting. Dari segi komunikasi, kita tidak buat dengan baik. Bila orang tidak faham, orang bagi komen. Bila pemimpin pun tidak faham, komen mereka akan membuat rakyat lebih keliru. Kita perlu berubah jika mahu selamatkan negara. Perlu ada gencatan senjata.

Saya di Sinar Harian berharap rakyat yang cintakan keamanan bersama-sama mulakan gerakan dari rakyat untuk membuat semua pemimpin tidak kira pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan sebagainya untuk ubah cara mereka bergerak, cari solusi. Ketika ini terlalu banyak prejudis, kebencian, prasangka yang harus diredakan.

Saya mencadangkan kerajaan bagi arahan agar diskusi isu sensitif mesti dipadamkan. Sinar Harian akan akur, semua harus ikut, jika tidak saya akan bersuara dengan lantang.

Bacalah Sinar Harian, lihatlah kandungan kadang-kadang tajuk kami sensasi namun tidak chauvinis. Bila kami melakukan kesilapan kami akan perbetulkan.

Media harus bertanggungjawab. Media yang tidak bertanggungjawab perlu ditutup. Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri perlu ambil tindakan tegas terhadap orang yang mengapikan-apikan semangat perkauman dan kebencian termasuk media jika ikhlas mahu selamatkan negara.

Untuk pastikan anak cucu hidup aman damai, perlu ada semangat dan keberanian untuk mengubah sesuatu yang telah lama silap. Perlu ada keberanian dan kemahuan politik.

Mana-mana organisasi ekstremis harus disenyapkan. Majoriti rakyat akan menyokong kerana rakyat cintakan keamanan. Pemimpin perlu melakukan sesuatu kerana sekiranya negara porak-peranda, mereka turut akan kehilangan kuasa.

Bertindak dan buatlah keputusan untuk selesaikan isu yang menghantui kita selama bertahun-tahun. Dalam isu jawi, saya bukan cauvanis.

Tapi jika tiga muka surat jadi penghalang kepada perpaduan, kita perlu selesaikan isu ini. Jangan benarkan sesiapapun timbulkan isu Dr Zakir Naik seperti Ramasamy.

ARTIKEL BERKAITAN: Tulisan jawi: Perlu persetujuan 51 peratus ibu bapa, PIBG

Kita kena mulakan program penyatuan jika sesuatu isu menjadi semakin hangat. Biasanya saya tidak bercakap begini, saya kena lakukan sesuatu, sudah berbulan-bulan tiada orang peduli, manakala ada pemimpin buat benda jadi lebih teruk,

Saya mohon Perdana Menteri agar membuat keputusan tepat. Singkir pihak yang menyusahkan dan buat satu keputusan yang mampu selamatkan negara selain polisi jelas untuk bina semula negara supaya negara kembali bersatu padu.

Seruan kepada orang Islam, baiki diri sendiri, keluarga, masjid, komuniti masing-masing dan tunjuk akhlak sebenar seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Orang Islam yang dilahirkan daripada keluarga Islam, tetapi tidak belajar, tidak memahami dan tidak amalkan ajaran dan akhlak Islam adalah orang yang amat rugi.

Akhlak al-Quran

Ceramah kutuk parti dan tidak berfaedah patut diganti dengan pengisian yang boleh mencerminkan akhlak al-Quran. Islam menggambarkan kecemerlangan dan orang Islam yang cemerlang tidak akan beremosi dan akan bertindak secara rasional sekali gus tidak menakutkan orang bukan Islam.

Saya sarankan kepada menteri agama dan ustaz yang mengajar di sekolah atau kelas lepas maghrib, lebih baik masukkan roh al-Quran daripada mengutuk orang sana-sini.

Bukan hanya orang Cina dan orang India saja kena baiki, orang Islam sendiri pun kena baiki diri. Pemimpin harus berani ambil tindakan untuk satukan ummah.

Kesimpulannya, ketegangan ini harus diredakan melalui tindakan-tindakan dan keputusan afirmatif tetapi saranan saya pertama tegur semua media dan portal ini supaya tone down jangan api-apikan lagi seperti apa yang sedang berlaku sekarang.

Kebanyakan portal ini mengapi-apikan isu dan netizen. Maknanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mesti jalankan tugas, mana-mana laman web yang mengapi-apikan sentimen perkauman perlu ditutup termasuk Sinar Harian. Kalau Sinar Harian tutup saya reda demi menyelamatkan negara.

Sudah 20 bulan perkara ini dibiarkan, jangan jadi populis, buat perkara yang betul dan majoriti akan beri sokongan, yang penting kena ada kredibiliti kena ada integriti.

Kita kena ada reformasi, reformasi ini bukan setakat Najib Razak dan rasuah saja. Kejuruteraan sosial dan kemakmuran bersama juga penting, kemakmuran tidak akan dapat kalau tiada harmoni, harmoni tidak akan dapat jika tiada kefahaman dan tidak ada tolak ansur, sekarang saya tengok tidak ada tolak ansur. Sudah 60 tahun duduk di Malaysia tetapi masih tiada tolak ansur.

Kekallah dengan kecinaan kamu, kekallah dengan keindiaan kamu tapi kena asimilasi maknanya kita mesti jadikan bahasa Malaysia dan budaya Malaysia ada nilai komersial. Tetapi selagi orang India bercakap Tamil, berniaga dalam bahasa Tamil, Cina dalam bahasa Mandarin, Melayu dalam bahasa Melayu, bahasa Malaysia tidak akan jadi bahasa komersial.

Kita lihat bukti filem bahasa Malaysia boleh jual, kandungan dalam bahasa Malaysia boleh jual jadi maknanya sebuah bangsa atau budaya boleh jadi kuat kalau didokong semua penduduk tapi kalau kita berpecah, berkeras dan semakin membenci maka kekayaan akan hancur juga, orang yang miskin akan memberontak.

Jadi lakukan sesuatu, selesaikan kemelut ini dan yang paling besar apa isu, selesaikan. Selagi tidak selesai saya bimbang.

Saya bukan emosi tetapi kenapa saya cakap begini kerana saya hendak sampaikan mesej ini dengan jelas kepada pemimpin, kepada orang Melayu, India dan Cina. Kalau kita tidak hentikan perselisihan ini kita sama-sama akan rugi. Kalau pemimpin tidak hentikan maka mereka akan kalah besar nanti. Sentimen agama dan kaum tidak boleh digunakan lagi. Anda boleh jadi popular tetapi untuk jangka masa panjang kita sudah tertinggal jauh kerana dulu Malaysia adalah negara termaju di Asia Tenggara. Kenapa? Kerana pengurusan teruk, tiada integriti dan perpecahan, rakyat tidak ada kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.

Kenapa Thailand maju? Kerana kebanggaan sebagai rakyat Thai, walaupun dia India beragama Hindu tapi dia Thai. Tidak ada satu negara yang tiada identiti budaya sendiri, tetapi mana identiti budaya kita? Kita ke Indonesia dan lihat identiti budaya mereka, Malaysia? Tidak

KITA kena kaji balik di semua peringkat: kita sebagai individu, kita sebagai ketua keluarga, kita sebagai ketua syarikat, kita ketua persatuan, kita ketua parti, kita ketua jabatan, kita menteri. Sejauh mana kita sudah berjaya membuat kita lebih baik sekarang dari dulu? Bagaimana kita boleh buat kejiranan kita lebih baik sekarang dari dulu? Bagaimana jabatan kita lebih baik dari dulu?

Kita kena tanya soalan itu jadi kita mesti pastikan keutamaan kita. Kalau uruskan pusat zakat, bagaimana kita uruskan kemiskinan di kawasan kita? Pengerusi masjid, apa duit yang dikumpul dan digunakan dan berapa banyak digunakan untuk bantu kariah kita? Kita tengok atau tidak berapa ramai kariah kita yang tidak makan, yang yuran tidak boleh bayar, kita kena proaktif.

Hussamuddin (duduk, tiga dari kanan) bersama ahli 'Core Gruop' kempen ‘Uninstall Hatred, Reboot Malaysia & Global Harmony’ di Kumpulan Karangkraf. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hussamuddin (duduk, tiga dari kanan) bersama ahli 'Core Gruop' kempen ‘Uninstall Hatred, Reboot Malaysia & Global Harmony’ di Kumpulan Karangkraf. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Jadi maknanya ketua keluarga kena pastikan kerana bagi saya akidah dan keimanan harus ditanam oleh ibu bapa mereka ke sekolah untuk belajar benda lain tetapi kita serahkan kepada guru.

Akhlak adalah tanggungjawab ibu bapa dan sekolah adalah untuk membantu anak kita lebih kompetitif dan maju dan kita kena pastikan anak-anak Islam lebih berjaya, solat tidak tinggal, kita beruntung kita orang Islam Allah ajar kita dengan sifat kebersihan sebelum mengadap Allah kita perlu mandi, wuduk bersihkan muka telinga rambut ada hikmahnya tetapi kenapa apabila keluar dari rumah kita kotor kita buang sampah merata, rumah tidak bersih, kejiranan kotor. ALLAH disiplinkan kita kerana kita tidak disiplin, jadi kembalilah.

Sepatutnya orang Islam mesti jadi orang yang paling berjaya, apabila mengurus mesti dengan baik, hati mesti murni, ikhlas dan jujur. Kenapa mesti potong barisan orang lain apabila solat itu bila kita sampai lambat kita kena duduk duduk belakang. Itu semua itu dilatih melalui amalan-amalan Islam tetapi kita tidak ikut dan itu menyebabkan orang bukan Islam tidak percaya pada kita.

Saya harap guru-guru, ibu bapa harus memberikan ilmu al-Quran dan kefahaman serta akhlak yang dituntut agama, ini tanggungjawab ibu bapa dan guru agama dan jangan lepaskan kepada pusat tahfiz dan ustaz, ini tanggungjawab. Jangan jadi ayah yang gagal bila disoal nanti ayah bertanggungjawab, ayah harus bimbing keluarga supaya jadi orang yang berjaya dan dia kena kerja kuat, berdisiplin, urus keluarga dengan baik barulah kita akan dihormati dan isu-isu ini tidak akan timbul.

Seruan kita ini untuk orang Islam dan perbaiki diri kita kerana kita majoriti, kita memerintah. Kita sebagai ketua adalah tanggungjawab kita dan dalam Islam kita kena jaga mereka dan bila kita jaga mereka, mereka hormati kita dan akhirnya perubahan di tangan kita.tahu apa budaya. Kita kena bersungguh-sungguh bersatu. Orang Melayu boleh cakap Cina, boleh faham bahasa Tamil, orang Cina juga sama, tetapi kalau macam sekarang jawi tiga muka surat, dalam logo polis tetapi tidak tahu apa.

Anda tahu apa yang ditulis dalam logo polis? Polis sendiri tidak faham, kalau dia faham dia tidak ambil rasuah kerana ada tulisan ALLAH di atas kepala dia. Saya tahu polis akan marah tetapi seseorang kena bercakap tentang perkara ini dan menyentuh hati kerana Malaysia kena sedar bahawa hanya kita boleh selamatkan negara kita. Kita harus bertindak jangan cakap di WhatsApp saja tetapi bertindak.

Hussamuddin memegang poster kempen Uninstall Hatred dan Reboot Malaysia. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Hussamuddin memegang poster kempen Uninstall Hatred dan Reboot Malaysia. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Itu sebab mulai hari ini saya mahu mulakan satu kempen dan harap disambut tidak kira apapun agama dan bangsa kita, Uninstall Hatred dan Reboot Malaysia dan juga global harmoni kita jadikan kempen besar-besaran dan dikongsi, orang Melayu dengan cara Melayu, orang Cina cara Cina, orang India cara orang India. Kita ada satu titik persamaan iaitu kita mahu buang kebencian dalam komuniti kita supaya boleh hidup harmoni dengan komuniti lain.

Jadi saya harap semua rakyat Malaysia sokong kempen ini. Kalau boleh video ini dikongsi seramai mungkin, saya mohon maaf jika bahasa saya kasar, saya harap ambil niat saya, saya tidak sedia skrip tetapi saya bercakap dari hati kerana saya bimbang jika berlaku apa-apa. Kita sudah lihat apa berlaku di kuil Subang Jaya dan orang Melayu marah kerana isu itu tidak diselesaikan. Orang Melayu masih marah tapi kalau kita selesaikan isu-isu lain, jadi dengan sendirinya isu itu akan reda.

Jadi jom sama-sama kita Uninstall Hatred dan Reboot Malaysia sekarang. Saya tahu di peringkat ini adalah peringkat benci dah, kalau tanglung yang kita beli untuk sama merayakan pun kita sudah fobia, paranoid, macam tengok hantu. Jawi yang dulu tiada apa-apa, sekarang tengok macam nampak hantu, Dr Zakir Naik tengok macam hantu, sedangkan Dr Zakir Naik, dia bercakap pun saya tidak faham tetapi kita takut, jadi kita cipta hantu-hantu yang merugikan kita. Jadi sama-sama kita buang kebencian, dalam bahasa sekarang Uninstall Hatred dan kemudian uninstall prejudice yang lain dan masukkan nilai, kita mestilah masukkan negara bangsa kita dengan nilai-nilai murni.

Bukan saya hendak menyamakan semua agama tetapi saya belajar semua agama. Saya baca apa yang ditulis tetapi tidak menjadikan saya seorang Kristian tapi saya tahu banyak nilai yang bagus tetapi kita nak pertahankan agama tapi nilai kita terus terutama orang Islam, kalau bercakap tentang Islam sanggup berjuang fisabilillah tapi solat tidak, menipu, duit rakyat ambil.

ARTIKEL BERKAITAN: Buang kebencian, kembalikan keharmonian sejagat

Jadi saya harap ini adalah permulaan untuk titik penyatuan ummah dan rakyat Malaysia, kita hentikan, lakukan gencatan senjata dan mulai hari ini berhenti cakap isu panas dan pemimpin cari penyelesaian, semua ada penyelesaian cuma mahu buat atau tidak. Bagi saya isu jawi, Dr Zakir Naik, UEC semua boleh selesai sekarang kerana kita terlampau banyak masa untuk tengok WhatsApp dan Facebook. Ini menyebabkan kita tidak dapat selesaikan masalah. Jadi sekarang semua orang bertanggungjawab, pemimpin dan pegawai untuk selesaikan masalah.

Saya tahu yang saya katakan ini risikonya tinggi tapi saya reda, kalau tidak buat nanti saya menyesal suatu hari nanti anak cucu saya duduk negara porak-peranda. Kita lihat di Timur Tengah, India dan negara lain. Jadi semasa ada peluang, rakyat perlu bersatu padu, pemimpin harus buat perkara betul, buat keputusan, buat kajian, lakukanlah dan majoriti rakyat akan sokong walaupun tidak popular. Netizen bukanlah ramai sangat sangat, yang tidak komen lebih 90 peratus.

Jadi tolonglah Perdana Menteri, menteri buat perkara yang betul dan tidak perlu tweet lagi. Buat kerja, buat keputusan dengan betul, laksanakan, lakukan sampai jadi dan bawa negara ini ke arah kejayaan, lebih harmoni dan mendapat kemakmuran bersama.

[EKSKLUSIF] Jangan hancur negara dengan kebencian

Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengingatkan kerajaan, jika isu perkauman dan agama tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh menghancurkan Malaysia dan menaikkan kemarahan rakyat. Ikuti apakah saranan beliau untuk pemimpin tertinggi negara demi mengelakkan perkara ini menjadi lebih parah. BACA ARTIKEL PENUH: https://bit.ly/305pNLS Ikuti kami di: Laman web: www.sinarharian.com.my/ Facebook: www.facebook.com/SinarHarian/ Twitter: twitter.com/SinarOnline YouTube: www.youtube.com/user/SinarHarianWebTV #SinarHarian #WawancaraEksklusif #KitalahMalaysia #SavingTheNation #UninstallHatred #RebootMalaysianHarmony

Posted by Sinar Harian on Thursday, January 9, 2020