Nur Nadhrah pasang impian buka wisma tahfiz lebih besar

Nur Nadhrah
Nur Nadhrah
A
A
A

SHAH ALAM - Bukan hanya sekadar membuka maahad, pengacara program keagamaan salah sebuah stesen televisyen, Nur Nadhrah Mohamed Yunos memasang impian untuk memperkenalkan wisma tahfiz lebih besar pada masa hadapan.

Beliau yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz berkata, ia bertujuan untuk membuka mata masyarakat bahawa maahad tersebut bukan hanya sekolah pondok, namun boleh dimodenkan mengikut peredaran zaman.

Menurutnya, ia berikutan terdapat segelintir pihak beranggapan bahawa mereka yang belajar di maahad tidak mempunyai masa depan yang cerah.

"Pembukaan wisma ini khususnya buat wanita dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa walaupun belajar mengenai al-Quran, mereka ini juga dapat berkecimpung dalam bidang lain, selain masa depan lebih terjamin.

Nur Nadhrah mahu buka mata masyarakat bahawa maahad bukan hanya sekolah pondok.
Nur Nadhrah mahu buka mata masyarakat bahawa maahad bukan hanya sekolah pondok.

"Sebelum ini, saya hanya mengajar di maahad tahfiz sejak saya berusia 18 tahun dan dari pengalaman ini membuatkan saya ingin ia dimartabatkan pada peringkat lebih tinggi.

"Melalui pembukaan wisma ini juga, mereka dapat mempelajari tajwid dengan lebih baik," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nur Nadhrah berkata, beliau mengakui terdapat cabaran besar yang terpaksa dihadapinya iaitu dari segi kewangan untuk meneruskan operasi maahad tahfiz itu dengan jumlah pelajar yang semakin berkurang.

Artikel Berkaitan:

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, ramai yang keluar disebabkan masalah kewangan.

"Selain itu, ramai juga ibu bapa yang menjadikan maahad ini sebagai pilihan terakhir selepas anak mereka tidak berjaya memasuki sekolah yang diharapkan.

"Situasi ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap operasi maahad kerana mereka berasa terpaksa mempelajarinya dan bukan atas kehendak sendiri," ujarnya.