Tiga cedera parah kereta terbabas masuk longkang

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta. Foto Ihsan JBPM
A
A
A

TEMERLOH - Seorang pemandu dan dua penumpang cedera parah selepas kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka terbabas dan masuk ke dalam longkang di Jalan Temerloh-Jerantut dekat Kampung Paya Keladan di sini pada Isnin.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, dua lagi penumpang kereta terbabit cedera ringan dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 4.36 petang.

"Seramai empat anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh bersama dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Mentakab dikerahkan ke tempat kejadian.

Keadaan kereta yang terbabas masuk ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Temerloh-Jerantut dekat Kampung Paya Keladan, Temerloh pada Isnin. Foto Ihsan JBPM
Keadaan kereta yang terbabas masuk ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Temerloh-Jerantut dekat Kampung Paya Keladan, Temerloh pada Isnin. Foto Ihsan JBPM

"Komander operasi melaporkan sebuah kereta terbabas dan masuk ke dalam longkang.

"Terdapat lima mangsa iaitu pemandu kereta seorang lelaki dewasa yang tersepit dan cedera parah, dua lagi cedera parah seorang perempuan dewasa dan kanak-kanak lelaki.

"Dua mangsa cedera ringan iaitu seorang lelaki dewasa dan bayi lelaki," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pasukan terlibat membuat operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

Jelasnya, mangsa berjaya dikeluarkan dan diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kesemua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh menggunakan EMRS," tambahnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28