Mat rempit ditahan ketika berlumba
SHAH ALAM - Menunggang secara berbahaya selain berlumba antara satu sama lain antara kegiatan dilakukan sekumpulan penunggang motosikal dekat Persiaran Mokhtar Dahari di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun aksi berkenaan memakan diri apabila kesemua mereka ditahan dalam Op Cegah Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, operasi dijalankan bermula kira-kira jam 9 malam sebelum berakhir jam 1 pagi itu dijalankan oleh seorang pegawai dan 15 anggota.
"Sebanyak 50 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan dan pelanggaran undang-undang lalu lintas dikeluarkan menerusi operasi ini.
"Selain itu, operasi sama turut melibatkan sitaan sebanyak lapan motosikal atas pelbagai kesalahan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, pihaknya komited dalam memastikan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang antaranya kegiatan lumba haram ini dapat dibanteras sepenuhnya.
"Pihak polis sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan setiap masa terutama pada hujung minggu bagi mengekang kegiatan ini.
"Ia juga sebagai salah satu usaha bagi membendung aktiviti tidak sihat ini serta mengurangkan kadar kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal," katanya.
Menurutnya, menunggang secara melulu dan berbahaya merupakan satu kesalahan.
"Polis akan terus memburu mana-mana individu yang berdegil dan tidak gerun dengan hukuman dikenakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Tiada kompromi kesalahan melibatkan samseng jalanan bagi memastikan keselamatan pengguna lain terjaga," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28