NS tubuh jawatankuasa kaji tarif air

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN- Kerajaan Negeri Sembilan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji kesan terhadap penduduk negeri ini berikutan cadangan kerajaan Persekutuan untuk menaikkan kadar tarif air di negara ini.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata jawatankuasa ini akan menimbangkan cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung kenaikan kadar tarif air itu.

“Walaupun kenaikan kadar tarif air ini nampak kecil tetapi kita ingin melihat tentang kesan yang akan ditanggung oleh rakyat di Negeri Sembilan. Dalam masa yang sama kita juga hendak memastikan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dapat terus berjalan dalam operasi terbaik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kadar tarif air dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata kenaikan tarif sumber asli tersebut perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kerajaan negeri telah membuat perancangan bagi mengadakan aktiviti pelancongan sepanjang tahun 2019, selain menyusun beberapa strategi untuk menarik lebih ramai pelancong ke Negeri Sembilan," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: