AG dapat kebenaran mulakan prosiding komital terhadap Isham Jalil

Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara (AG) untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil kerana menghina mahkamah berhubung kenyataan mengenai kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan peguam,Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mewakili Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil sebagai responden.

"Mahkamah membenarkan permohonan Peguam Negara dan menetapkan 23 April untuk pengurusan kes," katanya.

Terdahulu, Mohamad Mustaffa berhujah kata-kata yang diucapkan oleh responden semasa temu bual pada September lepas, secara keseluruhannya mengandungi risiko sebenar yang akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan.

"Dengan mempersoalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Persekutuan serta Mahkamah Tinggi berhubung kes SRC dan 1MDB melibatkan Najib, responden telah mengaibkan badan kehakiman dan mendedahkannya kepada skandal (skandal kehakiman)," katanya.

Sementara itu, peguam Azhar Azizan dalam hujah balasnya berkata, anak guamnya berhak mendapat kebebasan bersuara dan sama ada komennya dianggap menghina boleh dipertikaikan kerana Isham tidak melakukan apa-apa penghinaan di dalam mahkamah.

Mohamad Mustaffa dalam hujahannya berkata, kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah hak yang diberikan kepada semua orang tetapi komen itu perlu diamalkan dengan 'adab yang munasabah dan berniat baik'.

Dalam permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan pada 28 Disember tahun lepas, Peguam Negara turut memohon agar mahkamah memenjara atau mengenakan hukuman denda terhadap Isham.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu difailkan atas alasan Isham telah mempersoal proses perbicaraan dan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International dan 1MDB dalam satu temu bual bertajuk Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?.

Temu bual itu disiarkan di laman Facebook 'The Malaya Post' pada 30 September tahun lepas. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28