[VIDEO] Kerajaan sedia pinda Perlembagaan Persekutuan jika disyor jawatankuasa khas

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedia melakukan pindaan terhadap beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak konflik berterusan antara bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kerajaan sedia mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan di Parlimen sekiranya Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam mengesyorkan pindaan berkaitan sejurus mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

"Sekiranya syor dan kajian (jawatankuasa) itu membawa kepada keperluan untuk pindaan dibuat kepada mana-mana Perlembagaan Persekutuan, dalam konteks ini apabila proses pengesyoran itu dibawa ke Majlis Raja-Raja dan dapat perkenan, kemudian akan dibawa ke Kabinet.

"Kalau itulah yang menjadi penghalang kepada usaha untuk memperkasakan mahkamah syariah dan bagi mengelak sebarang bentuk konflik berlaku antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, sudah tentu Kabinet akan mempertimbangkan, terus bawa ke Parlimen untuk syor pindaan.

"Apa yang penting, kita yakin dengan adanya konflik antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, pertikaian ini akan terus berlaku dan perlu diselesaikan dengan segera," katanya dalam Dewan Rakyat pada Isnin.

Mohd Na'im ketika sidang Dewan Rakyat pada Isnin
Mohd Na'im ketika sidang Dewan Rakyat pada Isnin

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai kesediaan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sebagai usaha mengatasi konflik bidang perundangan melibatkan mahkamah sivil dan syariah.

Sementara itu menjawab soalan asal Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai perkembangan sesi libat urus antara Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dengan Majlis Agama negeri, Mohd Na'im menjelaskan, jawatankuasa itu sedang melaksanakan kajian berkaitan konflik bidang kuasa secara menyeluruh dan tidak hanya memberi fokus kepada kompetensi DUN.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa khas juga sudah merancang untuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk ketua hakim syarie, mufti, majlis agama Islam negeri-negeri, wakil institusi Islam, mantan hakim dan beberapa individu serta pihak lain mengikut keperluan dan kesesuaian untuk memberi input, pandangan serta cadangan.

"Pendekatan sedemikian secara tidak langsung dapat membantu Jawatankuasa Khas untuk melihat semua aspek yang berkaitan secara holistik, sama ada aspek perundangan sivil dan syariah termasuk hukum syarak.

“Saya percaya jawatankuasa ini dapat membantu mencari jalan penyelesaian terbaik dan harmoni bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!