Latihan kemahiran bantu keluar daripada gelandangan

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

SEGAMAT - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memberi latihan kemahiran kepada gelandangan di Kuala Lumpur bagi membolehkan mereka kembali dalam masyarakat dan membina hidup baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa berkata, latihan diberikan itu nanti antaranya memasak, gunting rambut dan membuat kraftangan akan membantu mereka mendapatkan kerja yang sesuai dengan kemahiran mereka sekali gus dapat menjana sumber pendapatan dan pekerjaan.

"Kemahiran ini kita tawarkan kepada ratusan gelandangan yang berlindung di Pusat Transit Kuala Lumpur (PTKL) di bawah JKM. Ada juga di antara mereka mempunyai kemahiran-kemahiran yang boleh digarap dan kemudian kita bantu mereka untuk keluar daripada isu gelandangan.

"Contohnya kemahiran yang mudah seperti memasak, gunting rambut dan sebagainya, kemudian kita beri pekerjaan yang akhirnya boleh menyara kehidupan mereka dan keluar daripada masalah gelandangan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Peruntukan Ahli Parlimen Sekijang Kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bawah Kawasan Parlimen Sekijang Tahun 2024 di Pejabat Daerah Segamat di sini pada Ahad.

Dr Zaliha (tengah) menyerahkan replika cek kepada wakil-wakil JPKK di Pejabat Daerah Segamat, Segamat pada Ahad.
Dr Zaliha (tengah) menyerahkan replika cek kepada wakil-wakil JPKK di Pejabat Daerah Segamat, Segamat pada Ahad.

Dr Zaliha berkata, usaha itu dijangka dapat mengurangkan lambakan gelandangan di Kuala Lumpur yang kebanyakannya berpunca daripada masalah seperti ketiadaan rumah dan masalah mental.

Katanya, tidak mudah untuk mensifarkan jumlah gelandangan namun akan cuba melakukan beberapa pendekatan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya dalam pemberian makanan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita tengok tentang isu lambakan warga asing mahupun gelandangan, bagi saya memang betul ia adalah isu legasi dan di peringkat Jabatan Wilayah Persekutuan di bawahnya agensi yang ada termasuk DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kita sedang merancangkan tindakan yang lebih bersepadu melibatkan lebih banyak agensi," katanya.

Ini termasuk katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan polis bagi melibatkan isu warga asing manakala JKM dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melibatkan penyelesaian isu gelandangan.

"Baru-baru ini saya telah berjumpa dengan lebih daripada 10 agensi terlibat untuk kita merancang apakah penyelesaian terbaik yang boleh kita laksanakan kepada dua isu legasi ini.

"Contohnya pekerja asing, ia perlulah satu tindakan yang lebih adil dan ada sebahagian besar daripada mereka ini yang kita dapat (tahan) baru-baru ini dalam Operasi Mini Dhaka lebih kurang 10 peratus sahaja.

"Mereka tidak mempunyai dokumen, jadi mungkin mereka hadir ke Kuala Lumpur itu untuk bertemu rakan-rakan segenara atau untuk hari libur mereka dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sumbangan RM65,000 itu disampaikan untuk 23 kampung dan daripada jumlah itu, 18 kampung Melayu dan lima lagi kampung baharu Cina.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Sekijang, sumbangan tersebut untuk JPKK menjalankan aktiviti di kawasan masing-masing dan pada masa depan pihaknya akan menambah peruntukan terbabit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28