Selangor uji kekuatan di Bangkok

Safuwan Baharudin
Safuwan Baharudin
A
A
A

SELANGOR FC terbang ke Bangkok, Thailand bagi menghadapi sesi pra musim menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bermula pada Mei depan.

Skuad Gergasi Merah akan mengadakan dua perlawanan persahabatan bersama dua kelab di Thailand selain aktiviti team building juga dijalankan bagi memupuk semangat kerjasama dan merapatkan lagi hubungan dalam kalangan pemain, pegawai serta barisan jurulatih.

Pemain pertahanan Selangor, Safuwan Baharudin berkata, persiapan pra musim ini akan membantu pasukan untuk melihat dengan lebih jelas perubahan serta penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memantapkan lagi pasukan untuk musim ini.

“Saya yakin semua pemain tidak sabar untuk sesi pramusim di Bangkok. Ini akan menjadi ujian pertama untuk kami kerana pasukan akan menentang dua kelab Thailand yang sedang aktif beraksi di liga mereka sekarang.

"Jadi, tahap kecergasan mereka sudah tentu akan membantu kami untuk mengukur dari segi ketahanan, kebolehan teknikal dan taktikal daripada perlawanan persahabatan tersebut.

"Sekali gus dapat membantu barisan jurulatih untuk membuat keputusan dalam merancang sistem yang akan digunakan pasukan.

“Selain itu, saya juga merasakan pramusim ini merupakan masa yang terbaik untuk pasukan mengenali serta memahami antara satu sama lain dengan lebih baik untuk di bawa semasa Liga Malaysia bermula nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Safuwan tekad mahu membawa pasukan itu mara lebih cemerlang musim ini pada tahun kelimanya di kelab tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Secara peribadi, saya rasa terhutang budi dengan Selangor FC. Oleh itu, saya mahu membantu kelab layak ke Perlawanan Akhir dan mendakap trofi kemenangan sebelum saya mimikirkan tentang perjalanan yang seterusnya.

“Saya berharap tahun ini saya dapat beraksi tanpa sebarang kecederaan.

"Jika saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan kondisi badan saya berada di tahap yang baik, saya pasti berikan 100 peratus dalam padang dengan harapan dapat beraksi dalam 80 peratus perlawanan untuk musim 2024/2025,"katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28