SST naik: SPNB jamin harga Rumah Mesra Rakyat kekal

Zahanuddin (dua dari kanan) melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Program Komuniti Kemampanan Bandar (PKKB) dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Padang Awam Taman Metro Maya Pusing pada Sabtu. Foto Bernama
Zahanuddin (dua dari kanan) melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Program Komuniti Kemampanan Bandar (PKKB) dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Padang Awam Taman Metro Maya Pusing pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

BATU GAJAH - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memberi jaminan tiada peningkatan terhadap harga Rumah Mesra Rakyat (RMR) susulan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dinaikkan kepada lapan peratus berkuat kuasa semalam.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zahanuddin Kamarudin berkata, ini kerana pelaksanaan projek RMR tidak melibatkan aspek konsultasi yang menjadi antara intipati dalam terma pembinaan perumahan di bawah syarikat pemaju swasta.

"Bagi pihak pemaju lain, mereka mungkin mengalami peningkatan harga kerana perlu membayar kos perkhidmatan konsultan termasuk jurutera dan arkitek yang terlibat dalam kenaikan kadar SST baharu.

"SPNB juga telah menetapkan kepada kontraktor dilantik supaya mempercepat proses menyiapkan projek.

"Apabila projek siap dengan lebih cepat bermakna kita dapat menjimatkan pelbagai kos yang secara tidak langsung mengekal harga rumah pada kadar sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Taman Metro Maya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Zahanuddin berkata, sejak 2020, SPNB menawarkan setiap rumah RMR kepada golongan B40 dengan harga RM75,000 dengan subsidi kerjaaan bernilai RM20,000.

Kediamaan berkenaan dilengkapi dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan dua bilik air berkeluasan sekitar 750 kaki persegi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, sebanyak RM160,000 diperuntukkan oleh SPNB bagi menjayakan PKKB di beberapa negeri termasuk di Perak pada tahun ini.

Beliau berkata, program yang turut mendapat kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosial dan mengukuhkan keharmonian dalam komuniti.

Pada Pembentangan Belanjawan 2024 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan lapan peratus kadar SST berbanding enam peratus sebelum ini berkuat kuasa 1 Mac ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28