Kerajaan peruntuk dana jaminan RM5 bilion SJPP khusus buat syarikat bumiputera

Amir Hamzah ketika berucap pada majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan - Belanjawan 2024 hari ini. - Foto: Bernama
Amir Hamzah ketika berucap pada majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan - Belanjawan 2024 hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5 bilion daripada jumlah pembiayaan RM20 bilion bagi 2024 yang dijamin di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) akan dikhususkan untuk syarikat bumiputera.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dana jaminan itu akan mengutamakan sektor pertumbuhan baharu Ekonomi MADANI.

Selain itu, katanya tumpuan juga akan diberikan kepada usaha pendigitalan oleh syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Dengan pendekatan ini, ia juga dapat memastikan syarikat bumiputera di pelbagai peringkat pertumbuhan mendapat akses kepada pembiayaan.

"Jaminan SJPP untuk syarikat kecil dan sederhana bumiputera akan membantu melengkapkan pembiayaan yang diumumkan semasa Kongres Ekonomi Bumiputera bagi usahawan mikro melalui pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion serta untuk syarikat pemula dan pertumbuhan tinggi melalui dana ekuiti sebanyak RM1 bilion di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan - Belanjawan 2024 di sini hari ini.

Setakat ini, Amir Hamzah berkata, SJPP telah menjamin lebih 100,000 PMKS dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion.

"Untuk tahun lepas sahaja, SJPP telah membantu lebih 19,000 PMKS dengan nilai pembiayaan yang dijaminkan sebanyak RM18.5 bilion," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, sejak penubuhan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pada 2008, telah meluluskan jaminan kepada lebih 43,000 penerima dengan jumlah pembiayaan melebihi RM8.8 bilion.

"Untuk 2023 sahaja, SJKP telah memanfaatkan lebih 23,000 peminjam dengan jaminan bernilai RM6 bilion," katanya.

Mengambil kira perkembangan semasa dengan ramai bekerja dalam sektor tidak formal dan menjadi pekerja gig, katanya kerajaan meningkatkan SJKP dengan jaminan tambahan RM10 bilion untuk tahun ini dan ia bakal memanfaatkan lebih 40,000 peminjam.

"Institusi kewangan juga disarankan supaya lebih peka kepada golongan pekerja tersebut dan mengubah daripada penilaian kredit yang bergantung kepada slip gaji supaya dapat menilai juga kemampuan pinjaman oleh pekerja daripada sektor tidak formal dan gig berdasarkan prestasi pendapatan," katanya.

Mengenai hutang tidak berbayar (NPL), Amir Hamzah berkata, SJPP merekodkan penurunan peratusan kepada dua peratus daripada tujuh peratus sejak penubuhannya.

"Kalau kita tengok NPL SJPP yang dahulunya masih bermula dengan tujuh peratus dan kini skim dah bertambah baik apabila ia merekodkan kurang daripada dua peratus dan sampai kepada tahap yang boleh kekal.

"Justeru, ia adalah inovasi yang baik dari semasa ke semasa dan kita perlu menyokong pembangunan PKS di Malaysia," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28