Tambah baik perkhidmatan, kurangkan kebergantungan terhadap IJN - KJ

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Penambahbaikan perkhidmatan Kardiologi di hospital kerajaan termasuk Serdang diharapkan dapat dilaksanakan dengan segera bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Institut Jantung Negara (IJN).

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jika ia ditambah baik, lebih ramai pesakit boleh dirawat di Pusat Jantung Hospital Serdang.

"Lagipun, perbandingan akan dibuat sebab saya tengok ada komen yang mengatakan bahawa ya kita dah stabil, ahli keluarga saya discaj dari IJN dan dihantar semula kepada hospital kerajaan tapi dia kata perkhidmatan tahap lain. Sudah tentu lain.

"Oleh itu, kita harap mungkin bukan hanya di Serdang tetapi di hospital lain juga tahap perkhidmatan itu dapat ditingkatkan supaya tiada jurang yang terlalu besar antara IJN dengan hospital kerajaan yang biasa," katanya.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika podcast ‘Keluar Sekejap’ bersama mantan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan di platform YouTube.

Dalam program tersebut, beliau diminta mengulas berhubung dakwaan IJN kini sedang dalam proses discaj semua pesakit dari kalangan kakitangan awam dan pesara susulan langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Tambah beliau, bagaimanapun KKM telah pun menjelaskan adalah apabila pesakit dalam keadaan stabil mereka akan discaj daripada IJN dan akan dirujuk ataupun dihantar kepada hospital kerajaan.

"Memang kalau dirujuk kepada IJN kita akan bayar.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu, pada zaman saya jadi Menteri Kesihatan, kita ada membuka Pusat Kardilogi di Hospital Serdang. Ia setanding dengan IJN tetapi perlu tambah lebih ramai pakar untuk kita buka pusat dan blok baharu," jelasnya.