Bekalan air di kawasan MADA mampu bertahan hingga Jun

Ismail (kanan) semasa turun padang memantau kawasan pertanian MADA di Perlis pada Jumaat. Foto MADA
Ismail (kanan) semasa turun padang memantau kawasan pertanian MADA di Perlis pada Jumaat. Foto MADA
A
A
A

ALOR SETAR - Bekalan air di kawasan pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang disalurkan melalui tiga empangan masih mampu bertahan menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berterusan hingga Jun depan.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, agensi berkenaan sentiasa berada pada tahap berjaga-jaga memanfaatkan tiga empangan tersebut iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning.

Menurutnya, MADA sentiasa memantau dan mengikuti laporan semasa keadaan cuaca dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Bagi tujuan pengairan kawasan MADA, kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan penggiliran pengairan kawasan-kawasan pertanian padi.

"Apabila selesai pengairan di kawasan yang memerlukan, kita akan alihkan pengairan ke kawasan lain yang yang memerlukan bekalan air secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada Khamis, media melaporkan kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba setakat jam 4.50 petang.

MetMalaysia dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan, tahap gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Menurut kenyataan itu, suhu panas tahap berjaga-jaga turut direkodkan di 21 kawasan iaitu seluruh Perlis; Pulau Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Yan, Pendang serta Baling di Kedah; Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail berkata, MADA bersedia menggerakkan lebih 1,000 unit pam statik dan mudah alih untuk membantu pengairan kawasan sawah yang memerlukan bekalan air.

Beliau mengakui kesan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini turut memberi kesan kepada proses pendebungaan padi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28