Jangan biarkan kematian akibat strok haba berulang

Cuaca panas melampau yang melanda beberapa kawasan dalam negara kini sudah mencapai amaran tahap satu dan dua di mana suhu mampu mencecah sehingga 40 darjah Celcius dalam tempoh beberapa hari ini.
Cuaca panas melampau yang melanda beberapa kawasan dalam negara kini sudah mencapai amaran tahap satu dan dua di mana suhu mampu mencecah sehingga 40 darjah Celcius dalam tempoh beberapa hari ini.
A
A
A

CUACA panas melampau yang melanda beberapa kawasan dalam negara kini sudah mencapai amaran tahap satu dan dua di mana suhu mampu mencecah sehingga 40 darjah Celcius dalam tempoh beberapa hari ini.

Rentetan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan mengawasi pergerakan anak-anak ketika waktu siang kerana keadaan ini boleh memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia.

Jika terdedah terlalu lama di bawah panas, dibimbangi akan menjejaskan tahap kesihatan hingga boleh menyebabkan maut akibat terkena strok haba.

Ia kerana sepanjang tahun lalu, beberapa kes berkaitan strok haba dilaporkan telah meragut nyawa ramai mangsa tanpa mengira peringkat umur.

Pada April 2023, seorang kanak-kanak, Muhamad Syamil Aqil, 11, dilaporkan menjadi mangsa pertama meninggal dunia disyaki akibat strok haba.

Dalam pada itu, 10 pegawai muda Kor Risik Diraja (KRD) turut mengalami nasib sama ketika menjalani latihan di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Kota Tinggi di Johor pada Oktober lalu dan seorang daripada mereka dilaporkan maut.

Mangsa, Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, disahkan meninggal dunia pada jam 11.10 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas dikatakan pitam dan tidak sedarkan diri sewaktu menjalani latihan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Rabu turut mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua iaitu gelombang haba di Pokok Sena, Kedah.

Artikel Berkaitan:

MetMalaysia memaklumkan, 17 kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan amaran cuaca panas tahap satu dan lapan daripadanya di Kedah iaitu Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Yan.

Amaran cuaca panas tahap dua (gelombang haba) berlaku apabila suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius manakala tahap satu, 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Justeru, orang ramai dinasihati untuk sentiasa berhati-hati dan peka dengan amaran yang dikeluarkan oleh MetMalaysia bagi mengelakkan daripada kejadian tidak diingini berlaku.