Kereta, rumah dibakar angkara penghuni lama berhutang along

Halaman rumah juru jual dibaling bom petrol sehingga terbakar di Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada Jumaat
Halaman rumah juru jual dibaling bom petrol sehingga terbakar di Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada Jumaat
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita trauma apabila kereta dan pekarangan rumahnya di Taman Johor Jaya di sini terbakar selepas dipercayai dibaling bom petrol dalam bulan ini.

Dia yang bekerja juru jual dikenali sebagai Ling Ling, 22, berkata, keluarganya menerima ancaman pertama kira-kira jam 11 malam pada 1 Februari lalu apabila kereta jenis Persona milik ahli keluarganya dibakar.

"Kejadian kedua berlaku di hadapan rumah kami pada Selasa namun bapa saya sempat keluar rumah dan berjaya memadamkan kebakaran selepas mendengar jeritan jiran.

"Dalam dua kejadian tersebut, bahagian bumbung, bonet hadapan, cermin besar hadapan dan pintu bahagian penumpang hadapan rosak," katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat aduan masalah itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung di pejabatnya di sini ada Jumaat.

Semasa kejadian kedua, dia berada di kedai makan di Permas Jaya pada jam 4.54 pagi dan menerima notifikasi amaran kamera litar tertutup (CCTV) dari rumahnya akibat kebakaran sebelum meminta bapanya melihat keadaan.

Ling Ling (kanan) menunjukkan salinan laporan polis dibuat selepas diugut along di Pejabat ADUN Johor Jaya, Johor Bahru pada Jumaat
Ling Ling (kanan) menunjukkan salinan laporan polis dibuat selepas diugut along di Pejabat ADUN Johor Jaya, Johor Bahru pada Jumaat

Apabila meneliti rakaman CCTV, dia mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi putih dinaiki tiga individu melempar dua objek di halaman rumah hingga mengakibatkan kebakaran.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersyukur kerana api tidak merebak ke dalam rumah dan semua ahli keluarga dan jiran selamat. Sebelum ini saya pernah membuat carian alamat rumah keluarga saya dalam Facebook dan mendapati ada sebuah akaun Facebook penama Lee Hong K××× memuat naik gambar kad pengenalan lelaki bernama, Khoo Teng Khoon yang merupakan penghuni rumah bapa saya sebelum ini.

"Lelaki itu didakwa berhutang dengan pemilik akaun Facebook tersebut yang dipercayai sindiket ceti haram," katanya.

Menurut Ling Ling, walaupun mengetahui keluarganya tiada kaitan atau hubungan dengan lelaki yang berhutang itu, along tersebut sengaja membuat ancaman terhadapnya.

"Kami tiada kaitan dengan urusan pinjaman wang itu dan keluarga kami sudah tinggal di sini selama 10 tahun.

"Mereka semakin berani dan melampau. Selain keluarga kami, jiran juga bimbang dengan keselamatan masing-masing," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Johor Jaya pada hari sama.

Katanya, ancaman berkenaan mengakibatkan keluarganya semakin bimbang dengan keselamatan mereka dan berharap semua suspek terlibat ditangkap.

Sementara itu, Cai Tung berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera sebelum suspek bertindak lebih ganas dan mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

"Dalam kejadian pertama mereka meninggalkan nota ugutan dan meminta menghubungi nombor telefon tertentu," ujar beliau.

@sinarharianonline Seorang wanita trauma apabila kereta dan pekarangan rumahnya di Taman Johor Jaya, Johor Bahru terbakar selepas dipercayai dibaling bom petrol dalam bulan ini. Dia bertugas sebagai juru jual dikenali sebagai Ling Ling, 22, berkata, keluarganya menerima ancaman pertama kira-kira jam 11 malam pada 1 Februari lalu apabila kereta jenis Persona milik ahli keluarganya dibakar. Menurut Ling Ling, walaupun mengetahui keluarganya tiada kaitan atau hubungan dengan lelaki yang berhutang itu, ah long tersebut sengaja membuat ancaman terhadapnya. #fyp#beritaditiktok#SinarHarian#SinarTerkini#VideoViral#AhLong#JohorBharu#PinjamWang#Jenayah bunyi asal - Sinar Harian