PTPTN tawar hadiah RM100,000 kempen WOW! Syoknya Raya 2024

Norliza Abdul Rahim
Norliza Abdul Rahim
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 kepada 181 pemenang menerusi kempen WOW! Syoknya Raya 2024 yang bermula 1 Mac ini.

Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, hadiah utama berjumlah RM10,000 untuk seorang pemenang dan hadiah saguhati berjumlah RM500 untuk 180 pemenang.

Menurutnya, penyertaan itu terbuka kepada semua pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

“Pendeposit hanya perlu membuka atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen dan setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan manakala Simpan SSPN Plus layak mendapat dua cabutan secara automatik.

“Menerusi aplikasi myPTPTN atau melalui potongan gaji dan debit terus, pendeposit yang membuat simpanan bersih RM50 berpeluang mendapat lima cabutan, manakala pendeposit Simpan SSPN Plus akan mendapat 10 cabutan.

“Mereka perlu pastikan akaun kekal aktif, tiada tunggakan sehingga tarikh cabutan dan tidak boleh membuat pengeluaran atau pindahan simpanan sepanjang tempoh pengekalan bermula 1 Mei 2024 sehingga 31 Mei 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, menurut Norliza, dengan menyertai kempen tersebut pendeposit bukan sahaja berpeluang memenangi hadiah lumayan, malah mereka akan menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat.

Ujarnya, produk simpanan SSPN menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun dan turut memberikan perlindungan takaful.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, antara manfaat lain diperoleh termasuk Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen kompetitif dan simpanan dijamin kerajaan selain patuh syariah.

“Menabunglah dengan menyimpan duit raya anak-anak dalam akaun Simpan SSPN. Simpan lebih, peluang menang pun lebih.

“Pembukaan atau penambahan akaun Simpan SSPN boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!