Pemandu OKU tidak terlepas jika buat salah

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SERING kita terbaca atau mendengar mengenai tindakan segelintir rakyat di negara ini yang melakukan kesalahan terutama kesalahan jalan raya. Malah, ada antara kesalahan tersebut yang membawa kepada kecederaan parah termasuk kehilangan nyawa.

Media sebelum ini pernah melaporkan tindakan pemandu yang memandu melawan arus, memandu di lorong motosikal (pernah berlaku di Lembah Klang), memandu dalam keadaan mabuk dan terbaharu yang berlaku di Pulau Pinang.

Kejadian itu melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal yang menunggang dalam keadaan bahaya apabila pembonceng bertindak membaling objek disyaki pasir serta cuba menendang pengguna motosikal yang ingin memintas motosikalnya.

Bagaimanapun, apabila dibawa ke muka pengadilan, akhirnya didapati si pelaku rupa-rupanya seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, ada juga kes pemandu kereta tak mahu beri laluan kepada ambulans yang sedang membawa pesakit tapi apabila disiasat rupa-rupanya pemandu kereta OKU pekak dan alat bantuan pendengarannya tak berfungsi dengan baik.

Dalam kes sama di Kuala Lumpur, apabila diberkas alasan diberikan kerana mengalami masalah mental.

Timbul persoalan, adakah mereka benar-benar individu OKU atau sekadar menyalahgunakan kad tersebut bagi membantu meringankan hukuman atau melepaskan diri daripada kesalahan yang dilakukan?

Atau mereka adakah sememangnya rasa bangga memiliki kad OKU, sekali gus menganggap ia adalah ‘lesen’ untuk melakukan kesalahan demi kesalahan, seterusnya terlepas daripada hukuman?

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini, penulis tidak mempersoalkan lesen yang dimiliki golongan OKU kerana mereka memang berhak memilikinya. Selain membantu memudahkan mereka melakukan urusan harian, lesen memandu bagi golongan OKU juga membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti biasa seperti bersosial, berbelanja, beriadah dan sebagainya.

Namun, keistimewaan itulah yang sering digunakan oleh sesetengah pihak bagi ‘menutup’ kesalahan dilakukan. Kad OKU tidak boleh dijadikan ‘lesen’ untuk bebas daripada hukuman, kecuali memang benar-benar tidak waras atau hilang akal ketika kejadian.

Ingat! Kad OKU juga tidak memberi kelebihan ketika berdepan kes mahkamah kerana ia hanya boleh membantu dari sudut mengurangkan hukuman - menjadi penyebab sesuatu hukuman dikurangkan, itu pun sekiranya keterangan diberikan munasabah.

Akibat banyak berlaku kes terutamaa kesalahan jalan raya, pasti ramai yang tertanya-tanya, bagaimana pihak yang melakukan kesalahan tersebut boleh mendakwa diri mereka sebagai pemegang kad OKU?

Adakah kad tersebut (OKU) begitu mudah untuk diperoleh dan kemudiannya disalah gunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam erti kata lain, mereka boleh dikategorikan sebagai OKU yang bagaimana?

Jika OKU penglihatan, memang agak mustahil untuk mendapatkan lesen memandu kecuali bagi mereka yang mengalami kecacatan anggota badan seperti tangan dan kaki hingga membataskan pergerakan, apatah lagi untuk memandu. Sebab itulah, permohonan lesen memandu OKU bagi kelas A dan A1 boleh dilakukan di JPJ Negeri/Cawangan sahaja.

Malah, syarat-syarat bagi memiliki lesen OKU adalah kad OKU yang disahkan oleh laporan pemeriksaan dan hanya pegawai perubatan yang boleh mengesahkan sama ada seseorang itu layak mendapatkan lesen memandu dan menggunakan kenderaan yang telah diubahsuai mengikut keupayaan fizikal masing-masing.

Selain itu, ada juga kes-kes kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu dikatakan mengalami masalah mental (mental disorder) atau kurang upaya mental. Masalah OKU jenis ini ini mungkin lebih berbahaya kerana golongan seperti ini agak sukar untuk dikesan dan dilihat dari segi penampilan mereka yang kelihatan seperti individu normal.

Oleh itu, mungkin sudah tiba masanya, pihak berwajib khususnya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengkaji semula pemberian lesen memandu kepada golongan OKU bagi memastikan lesen diberikan itu benar-benar dimanfaatkan oleh mereka khususnya untuk kegunaan harian.

Selain itu, mungkin boleh diselidiki terlebih dahulu latar belakang pemohon lesen memandu dan jika didapati pemohon merupakan pemegang kad OKU, mungkin ada ujian khas yang boleh dilakukan terhadap mereka sebelum diberikan lesen memandu.

* Shahrizal Ahmad Zaini ialah wartawan Sinar Harian Johor

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28