Masih ramai polis berintegriti tolak rasuah

Rosdi Amir (Laporan Sinar Harian)
Rosdi Amir (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

SHAH ALAM - Sijil penghargaan eksklusif yang diberikan kepada anggota polis kerana menolak 'pemberian' ketika menjalankan tugas membuktikan bahawa masih ramai penguat kuasa yang berintegriti.

Setiausaha Agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Rosdi Amir berkata, ketiga-tiga anggota polis berkenaan berjaya membuktikan komitmen mereka dalam memerangi serta membasmi jenayah rasuah.

"Tindakan itu membantu untuk memulih dan menaikkan reputasi serta imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah melalui fasa kecaman netizen ekoran daripada beberapa insiden pelanggaran undang-undang anggotanya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan tiga anggota polis menerima sijil penghargaan eksklusif daripada Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar kerana menolak pemberian rasuah ketika menjalankan tugas.

Mereka cuba diberikan rasuah oleh warga Nepal ketika melakukan rondaan di sekitar kawasan pentadbiran Balai Polis Tenggara, Kota Tinggi pada 10 Februari lalu.

Sikap penuh integriti mereka ketika bertugas turut mendapat pujian daripada Kumar yang turut mengharapkan perkara berkenaan dijadikan contoh serta teladan kepada anggota serta pegawai polis yang lain.

Tambah Rosdi, pihaknya yakin insiden pelanggaran undang-undang itu hanya dilakukan oleh segelintir anggota polis yang tidak bertanggungjawab.

"Kami turut memuji tindakan Ketua Polis Johor yang telah menghargai sumbangan anggota berkenaan melalui pemberian sijil penghargaan eksklusif.

Artikel Berkaitan:

"Ini antara cara yang sepatutnya dilakukan, jangan hanya yang buruk sahaja didedahkan sebaliknya yang baik dan positif turut perlu diketengahkan," katanya.

Menurut beliau, tindakan itu dilihat antara langkah mengingatkan semula anggotanya melaksanakan tugas dengan penuh berintegriti dan tanggungjawab.

Jelasnya, melalui cara sedemikian, ia akan menjadi pendorong kepada anggota lain untuk berkhidmat dengan berprinsip mempertahan serta menegakkan undang-undang.

"Tidak ada salahnya memberikan penghargaan sedemikian, sebaliknya yang tidak betul ialah membiarkan sesuatu kesalahan itu berlaku tanpa sebarang tindakan.

"Namun bukan bermaksud berbuat sesuatu untuk mendapatkan ganjaran atau pujian. Harus diterapkan dengan matlamat berkhidmat sebagai anggota polis yang menjaga keamanan masyarakat dan negara.

"MCW juga yakin usaha dan pendekatan yang dilakukan Ketua Polis Johor ini telah dan akan diikuti oleh negeri-negeri yang lain, ia perlu disemarakkan. Tindakan baik anggota perlu dihargai kerana merekalah yang memainkan peranan terpenting mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap PDRM," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!